‘Cinta Kura-Kura’, Cukup Rasa Cinta & Komedi

Diterbitkan: Selasa, 6 Mac 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Cinta Kura-Kura tonjol keserasian Nani (Tiz Zaqyah) dan Adam (Aeril Zafrel).
Cinta Kura-Kura tonjol keserasian Nani (Tiz Zaqyah) dan Adam (Aeril Zafrel).

PENGGIAT kita apabila membikin filem ringan jarang yang menjadi. Kalau aspek ceritanya kuat, selalunya pemilihan pelakon atau mutu lakonan pula akan pincang.

Dalam ‘kegilaan’ pembikin kita menjunjung martabat cerita seram dan aksi, ada jugalah terselit satu atau dua judul daripada genre cinta dan komedi tetapi filem yang berkesan boleh dibilang dengan jari, jauh sekali untuk dibanggakan.

Namun, ada sesuatu yang menarik mengenai filem arahan pendatang baru dunia pengarahan filem iaitu Nizam Zakaria ini.

Memilih tajuk Cinta Kura-Kura (CKK) sebagai pertaruhan, filem terbitan KRU Studios ini tampak lain daripada filem-filem yang pernah dihasilkan studio milik adik-beradik itu.

Lihat saja pada judul yang menarik dan ringkas itu, hasil filemnya juga setara.

Ia tidak dibangunkan daripada subjek yang ekstravaganza atau sarat dengan falsafah.

Paparan kisah cinta dua remaja Adam lakonan Aeril Zafrel dan Nani (Tiz Zaqyah) yang diperkaya terapan komedi menerusi watak sang kura-kura nampak menjadi, atau setidak-tidaknya mencuit hati saya sebagai penonton.

Untuk percubaan sulung Nizam di kerusi pengarah, naskhah ini membanggakan. Apa yang lebih menarik adalah pemilihan plot ringan dan kontemporari itu disuntik seoptimum mungkin sehingga mampu menterjemahkan visual yang boleh ‘dilayan’.

Saya kira dalam pertaruhan karya ini, CKK cukup bertuah kerana ia bersandarkan skrip ringkas yang tidak menuntut pemahaman mendalam, justeru memudahkan penterjemahannya ke layar, seterusnya sampai kepada penonton.

Dek keberkesanan filem ini juga, mungkin tidak salah perhitungan mengkelaskan CKK sebuah naskhah ringan ala Hollywood yang efektif dengan landskap Malaysia.

Ia bermula dengan baik dan disulami elemen humor dan jenaka yang terkawal, filem ini diperkuatkan oleh lakonan para pelakon yang rata-ratanya memuaskan.

Gandingan dua pelakon muda yang berpasangan buat julung kalinya, Aeril Zafrel dan Tiz Zaqyah menjadi dan serasi.

Tidak banyak yang perlu mereka lakukan selain penterjemahan lakonan secara bersahaja, dua remaja ini memikat di depan layar.

Zizan si penggalas watak kura-kura bernama Nico juga bijak menonjolkan wataknya biarpun hanya melalui suara sahaja dan Bob (AF) tidak kurang mencuit dengan aksi lelaki lembut yang comel.

Gabungan elemen realiti (kisah cinta dua remaja) dan fantasi iaitu cerita dunia kura-kura yang boleh bercakap itu berhak dipuji.

Memanglah jika ingin membuat perbandingan, kita sudah banyak kali menonton kisah manusia dan haiwan berkomunikasi dalam filem sebelum ini.

Malah, filem Melayu sendiri iaitu O.K (Orang kampung Otak Kimia) arahan Datuk Aziz Sattar pada 1990 juga pernah memaparkan kisah pemuda dan seekor kambing berbual, tetapi itu perihal berbeza.

Dalam kes CKK, kupasan realiti dan penggunaan teknologi iaitu Imej Janaan Berkomputer (CGI) bagi watak-watak haiwan ini terjalin dengan baik dan seiring.

Mungkin pada bahagian penghujung CKK yang memaparkan keriuhan di dapur restoran dek kemunculan pelbagai haiwan yang terlepas agak mengganggu dan keterlaluan.

Pun begitu, ia masih boleh dimaafkan atas dasar toleransi dan keperluan bahawa elemen komedi slapstik itu adalah pencetus klimaks filem ini.

Menonton filem ini bagai menikmati sebungkus coklat M&M’s yang berwarna-warni dan sedap dikunyah. Cukup rasa, warna dan ringkas, CKK mampu memikat segenap peringkat penonton.

CKK mengisahkan seorang gadis ceria berusia 21 tahun bernama Nani (Tiz Zaqyah) bersama kura-kura peliharaannya, Nico (Zizan Razak).

Kisah filem ini bermula selepas Nani berpindah ke rumah abangnya, Amin (Bob AF). Jiran Nani, Adam (Aeril Zafrel) telah jatuh hati dengan Nani sejak kali pertama mereka bersua tetapi Nico tidak suka dengan Adam lalu berusaha mensabotaj usaha Adam untuk mendekati Nani.

Dalam masa yang sama, Nico mempunyai calon kegemarannya sendiri untuk berpacaran dengan Nani, iaitu pengurus kedai haiwan bernama Fadzly (Fizz Fairuz).

Bagaimanapun, Fadzly mempunyai motif jahat untuk mendekati Nani bagi menculik Nico dan dijual ke sebuah restoran haiwan eksotik.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan