'Azura 2012' Tanpa Magis Aziz M Osman

Diterbitkan: Jumaat, 3 Februari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Zek dan Azura membuktikan cinta sebenar dalam diri mereka.
Zek dan Azura membuktikan cinta sebenar dalam diri mereka.

ENTAH di mana silapnya, filem Azura 2012 yang memulakan tayangan pada 2 Februari lalu, dirasakan bagai lagu yang beralun tanpa irama.

Penantian terhadap filem yang heboh dicanangkan sejak setahun yang lalu itu berkesudahan dengan sia-sia.

Mungkin kekecewaan ini sekadar dikongsi majoriti pengamal media atau ia turut dirasai oleh khalayak lebih luas di luar sana.

Yang jelas, Azura 2012 tampak lesu dan kusam di layar, tidak ubah seperti minda yang kekurangan oksigen.

Justeru, perjalanan filem yang berlangsung selama dua jam itu dirasakan hambar dan gagal mengikat tumpuan.

Tanpa perlu saya membandingkan versi baru ini dengan karya asal yang diterbitkan pada 1984 itu, jenama Azura sememangnya kukuh terpasak dalam minda dan hati peminat filem Melayu.

Maka, mahu tidak mahu filem ini tidak boleh lari daripada menjadi bahan perbandingan.

Sekalipun kita mengambil pendekatan untuk bersikap terbuka dan berlaku adil tanpa membuat perbandingan, saya kira Azura 2012 kurang meyakinkan untuk diangkat sebagai karya segar yang utuh dan tersendiri.

Filem ini tidak hanya bersifat hambar dan lesu pada penceritaan, malah ia juga tidak digarap sebaik mana.

Kupasan dan konflik yang cuba disuntik tidak memberikan impak yang diharapkan, malah ia dikusutkan lagi dengan pembinaan plot yang lemah.

Kesan yang lebih memeritkan tentang filem ini adalah persepsi negatif yang akan melekat pada jenama Aziz M Osman sebagai pengarah filem berkaliber dan kreatif.

Ini kerana kerapuhan Azura 2012 seolah memperlihatkan kegagalan Aziz dalam memelihara sentuhan magisnya menerusi karya-karya yang mengagumkan sebelum ini termasuk Fantasia, XX Ray, Puteri Impian dan Senario Lagi.

Melihatkan kepincangan Azura 2012 lantas mengundang persoalan ke mana hilangnya magis pengarah itu.

Jika pada era 1990-an dan awal 2000, Aziz mampu melonjakkan dirinya sebagai pengarah gred A tanpa bajet dan teknologi seperti hari ini, apa sudah jadi dengan Azura 2012?

Pada aspek pemasaran dan penjenamaan, filem ini boleh berbangga dengan pertaruhan dua bintang sama cantik, sama padan iaitu Neelofa sebagai Azura dan Shahrizal atau sebelum ini dikenali sebagai Shahz Jazle (Zek) yang tidak dinafikan pasti memukau pancaindera.

Pun begitu, apa ertinya apabila keindahan itu gagal diimbangi pengisian yang memberangsangkan?

Percubaan sulung Neelofa sebagai bintang filem boleh dianggap sederhana sahaja. Ia bukan penterjemahan luar biasa yang meyakinkan namun memperlihatkan potensi aktres itu untuk berkembang.

Cukup bertuah bagi jelitawan ini kerana kelibatnya dilengkapi pakej fizikal yang sempurna pada visual.

Sementara bagi si hero Shahrizal pula dilihat lebih meyakinkan dan berkesan dalam menterjemahkan Zek.

Permainan emosi dan gestur Shahrizal, seorang lelaki dangkal yang berdepan dilema untuk memilih antara gadis pujaan dan keluarga itu dicernakan dengan baik.

Malah tenaga dan momentum jejaka ini tampak lebih menyerlah secara keseluruhannya.

Bersandarkan pada faktor-X dua bintang muda itu, saya tidak ragu filem ini mampu menarik penonton tetapi bagaimana kalau elemen tersebut berakhir dengan kecelaruan pada pengisiannya?

Apakah pengarah berpengaruh seperti Aziz boleh berbangga dengan kelebihan itu dan memejamkan sebelah mata dengan kekurangan yang terbentang asalkan ia mampu mengutip jutaan ringgit?

Jika itu sasarannya, tidak salah jika saya menyifatkan penghasilan naskhah ini sebagai satu kerugian kerana ia tidak memanfaatkan nilai jenama filem itu dan kredibiliti Aziz secara optimum.

Secara ringkas, Azura 2012 yang diadaptasi berdasarkan konsep dan perwatakan filem 1984 itu menyingkap kisah percintaan dua insan bernama Azura (Neelofa) dan Zek (Shahrizal Jaszle) memperjuangkan cinta mereka dan mengharungi halangan keluarga dan konflik kehidupan.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan