Sherlock Holmes 2 Lebih Teruja

Diterbitkan: Isnin, 2 Januari 2012 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

FILEM: Sherlock Holmes: A Game Of Shadows

ARAHAN: Guy Ritchie

LAKONAN: Robert Downey Jr., Jude Law, Rachel McAdams, Noomi Rapace, Stephen Fry, Jared Harris

GENRE: Aksi, misteri

DURASI: 2 jam 8 minit

EDARAN: Warner Bros

TAYANGAN: Bermula 22 Disember 2011

GENAP dua tahun selepas filem pertama Sherlock Holmes diperkenalkan kepada peminat karakter detektif popular itu, bahagian kedua yang berjudul Sherlock Holmes: A Game of Shadows (Sherlock Holmes 2) pula menyusul dengan penuh bergaya.

Masih diterajui oleh pengarah Guy Ritchie dan dua bintang utamanya Robert Downey Jr. dan Jude Law, gandingan tiga penjuru ini terus utuh berpadu dalam menawarkan sekuel yang lebih baik.

Jika pada siri pertama dulu, penekanan yang diberikan lebih kepada pengenalan watak dan corak penceritaan karakter ciptaan Sir Arthur Conan Doyle itu, keterujaan dan kelucuan yang silih-berganti sebelum ini bagai berganda pula pada kali ini.

Keserasian Robert Downey Jr. sebagai Sherlock Holmes dan Jude Law (Dr. John Watson) tiada taranya dalam filem ini. Aksi dan keletah mereka cukup realistik dan bersahaja setiap kali muncul di layar.

Bahkan, apa yang lebih mengasyikkan adalah melihat lakonan dua bintang ini menyusuri kembara Sherlock Holmes 2 yang berwarna-warni dan aksi itu adalah nadi terpenting yang menyumbang markah tertinggi secara keseluruhannya.

Dek kekuatan lakonan Robert Downey Jr. dan Jude Law itu jugalah, lakonan yang memberangsangkan daripada barisan aktres seperti Naomi Rapace (Sim) dan Rachel McAdams (Irene Adler) seakan tidak mampu menonjol atau bersaing.

Perwatakan yang digarap dan lakon layar yang berkesan daripada Kieran Mulroney and Michele Mulroney juga wajar disanjung.

Masakan tidak, jika bukan kerana penelitian dan kejituan yang diserapkan pada setiap lakonan pelakonnnya, mungkin filem ini akan berhasil tidak sehebat mana. Ini kerana, kekuatan utama Sherlock Holmes 2 jelas tersandar pada karakter yang mewarnai ceritanya dan bukan pada plot yang hanya berskala sederhana itu.

Subjek yang diketengahkan adalah misi Holmes dan Dr Watson untuk mengenal pasti dalang di sebalik siri pengeboman di beberapa negara di Eropah sehingga mengundang ketegangan di kalangan kuasa-kuasa besar di sana.

Holmes yang licik dan bijak sebenarnya mengetahui bahawa individu yang bertanggungjawab adalah Professor Moriarty lakonan Jared Harris.

Sekadar berlegar pada tema dan subjek sebegitu, mujurlah perjalanan filem ini diwarnai oleh momentum lakonan dan transisi babak yang tidak membosankan.

Seandainya naskhah itu tidak digarap dengan bijak, nescaya filem bahagian kedua ini tidak akan menjadi segah mana.

Seperkara lagi yang turut memikat tentang Sherlock Holmes 2 adalah pemilihan kostum dan syot-syot yang lebih menyuntik keterujaan yang konsisten hingga ke penghujung.

Dalam filem kedua ini, Sherlock Holmes (Robert Downey, Jr.) menyiasat rangkaian pengeboman yang berlaku di sekitar benua Eropah, di mana ia dipercayai didalangi oleh Professor Moriarty (Jared Harris).

Sebijak dan selicik Holmes, Moriarty menggunakan jaringan hubungan dan kekayaan yang dimilikinya untuk mengebom Perancis dan Jerman, sekali gus mencipta perancangan jahat itu untuk mengkucar-kacirkan keadaan.

Dalam usaha untuk mendapatkan Moriarty, Holmes telah menjejaki kekasih lamanya Irene Adler (Rachel McAdams) yang juga perancang jenayah dan orang utusan profesor itu.

Dapatkah Holmes berkompromi dengan tahap pemikiran dan kepintarannya yang setara dengan Moriarty itu dalam mengatasi konflik yang timbul pada kali ini?

Mampukah Holmes dan sahabatnya Dr. Watson menyelesaikan kes pembunuhan putera Austria? Jawapannya akan terungkai dalam Sherlock Holmes 2.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan