'Songlap' Sebuah Filem Melayu Berbeza

Diterbitkan: Isnin, 19 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Aktor popular Shaheizy Sam (kiri) bergandingan dengan Syafie Naswip sebagai adik-beradik bernama Am dan Ad dalam filem Songlap.
Aktor popular Shaheizy Sam (kiri) bergandingan dengan Syafie Naswip sebagai adik-beradik bernama Am dan Ad dalam filem Songlap.

SONGLAP, filem terbaru juga yang kedua hasil sentuhan penggiat suami isteri, Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Ishak ini boleh dianggap sebagai pakej segar yang hadir ke ruang tipikal perfileman tempatan.

Apa tidaknya, dalam kebuntuan dan kecelaruan penerbitan filem kita yang tidak sudah-sudah bertaruh dalam genre seram, komedi dan aksi, Songlap menyelit dengan penawaran berbeza.

Mungkin bagi kalangan penonton tipikal filem Melayu yang mendambakan hiburan totok daripada awal hingga ke penghujung, filem drama berat ini kurang menepati selera kelompok majoriti itu.

Sebagaimana yang diamati, penonton kita lebih senang dan terus selesa memilih filem yang ringan berbanding sebuah naskhah yang menuntut penelitian dan pemikiran mendalam.

Jika memang itu kehendaknya dan selera itu masih kekal, maka filem yang sarat dengan kritikan sosial berhubung isu kekeluargaan dan kemanusiaan ini mungkin kurang relevan di mata dan hati penonton kita.

Hakikatnya, pola sedemikian bukan asing di kalangan penonton kita kerana sudah terbukti sebelum ini bahawa filem-filem tempatan yang berat dan cuba membawa anjakan dan perspektif baru akhirnya tersungkur di pawagam dek sambutan dingin.

Namun, atas dasar kesedaran akan pentingnya buat penggiat filem kita terus menghasilkan filem-filem bermutu, maka selayaknya kemunculan Songlap dialu-alukan.

Sekalipun pada mata kasar, khususnya bagi penggemar filem-filem ringan, penterjemahan Songlap mungkin sukar untuk ditelan dengan mudah, pendekatan ala filem bebas ini sebenarnya tidaklah serumit mana.

Mungkin, celanya filem ini adalah kerana perjalanan dan momentumnya yang perlahan, sekali gus berpotensi untuk mengundang kebosanan.

Namun, secara kolektifnya Songlap wajar disifatkan baik kerana bukan sahaja punya pengisian yang baik, malah disokong oleh para pelakon yang berkesan.

Sekadar berkongsi pandangan, kewujudan aktor popular Shaheizy Sam adalah berbeza sama sekali daripada apa yang pernah dizahirkan dalam filem-filem lakonannya terdahulu.

Dalam Songlap, kita akan dapat melihat pemahaman dan penterjemahan Shaheizy Sam yang segar dan bebas daripada belenggu karakter klise yang dekat di hati penonton sebelum ini.

Justeru itu, aksi dan gestur aktor itu menggalas watak Am, seorang pemuda yang terlibat dalam kancah penjualan bayi dan pelacuran, dirasakan utuh dan mendominasi filem ini secara menyeluruh.

Hadirnya seorang lagi aktor muda, Syafie Naswip yang mendukung watak adik kepada Am iaitu Ad bagai lebih mewarnai filem ini.

Berbeza tafsiran dan pendekatannya, sentuhan Syafie menerusi Ad dilihat tersendiri dan meyakinkan.

Realistik

Maka, tidak hairanlah jika gandingan watak Am dan Ad ini terjalin dengan semula jadi dan realistik.

Begitu juga dengan aktres baru Sara Ali yang turut mencuri tumpuan. Susuk fizikalnya yang kecil itu di manipulasi dengan bijak sehinggakan watak Hawa lakonannya tampak besar dan meninggalkan impak.

Tanpa perlu banyak berdialog, Sara memberangsangkan dengan gestur tubuh dan mimik wajah yang bersesuaian selaku gadis yang trauma dan terkandas dalam skandal memperdagangkan manusia.

Selain mereka bertiga, kemunculan pelakon-pelakon berpengalaman lain seperti Normah Damanhuri, Omar Abdullah, Rozie Rashid dan Fauzi Nawawi memberikan lebih jiwa pada filem ini.

Oleh itu, selayaknya Effende dan Fariza dipuji kerana garapan dan lakon layar yang baik.

Bagi yang ingin menikmati hidangan filem tempatan yang segar dan lari daripada kelaziman, Songlap mungkin menjanjikan sesuatu.

Namun, anda perlu berkompromi dengan rentak filemnya yang tidak serancak KL Gangster, selucu Adnan Semp-it atau seasyik Ombak Rindu.

Penjualan bayi

Berlatarkan bandar raya Kuala Lumpur, Songlap memaparkan kisah dua adik-beradik iaitu Am lakonan Shaheizy Sam dan Ad (Syafie Naswip) yang melibatkan diri dalam sindiket penjualan bayi yang diuruskan oleh seorang wanita bergelar Mama.

Kehidupan dua adik-beradik ini jauh berbeza. Am mengambil kesempatan dengan menggunakan bisnes Mama sebagai jalan pintas mendapatkan wang untuk kegiatan judinya.

Ad pula mengimpikan kehidupan yang lebih baik dengan menyertai pertandingan tarian B-Boy.

Ad mula menyedari impiannya mungkin tidak tercapai setelah kehilangan rakan karibnya Razak pada kancah dadah dan melihat dengan matanya sendiri nasib gadis-gadis muda yang dijual kepada sindiket memperdagangkan manusia.

Apabila adik Razak iaitu Hawa (Sara Ali) yang sedang hamil terjebak dengan sindiket ini, Ad tidak boleh menutup mata dan hanya mendiamkan diri.

Dia bertindak untuk menyelamatkan Hawa tanpa menyedari bapa Hawa, Pak Din juga sedang mencari anaknya yang telah hilang.

Namun, niat baik Ad untuk membantu Hawa telah menggoyahkan hubungannya dengan Am dan mengundang pergelutan yang membawa ke ambang maut.

FILEM: Songlap

ARAHAN: Effendee Mazlan & Fariza Azlina Ishak

LAKONAN: Shaheizy Sam, Syafie Naswip, Sara Ali, Omar Abdullah, Rozie Rashid, Normah Damanhuri

GENRE: Drama, aksi

DURASI: 100 minit

EDARAN: Grand Brilliance

TAYANGAN: Bermula 15 Disember 2011

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan