'New Year’s Eve' Serba Sederhana

Diterbitkan: Selasa, 13 Disember 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Michelle Pfeiffer (kiri) sebagai Ingrid dan Zac Efron (Paul) dalam New Year's Eve (2011).
Michelle Pfeiffer (kiri) sebagai Ingrid dan Zac Efron (Paul) dalam New Year's Eve (2011).

LAZIMNYA, hanya dua kemungkinan akan menanti penonton di penghujung sesebuah filem yang membariskan bintang-bintang besar.

Pertama, kemunculan nama-nama besar dan popular ini berupaya untuk memberikan impak luar biasa pada sesebuah cerita atau hasilnya sekadar suam-suam kuku ekoran plot atau skrip yang sederhana.

Bagi filem komedi romantik terbaru New Year’s Eve (NYE), impak yang ditinggalkan sejurus filem ini melabuhkan tirainya adalah yang kedua.

Himpunan bintang-bintang Hollywood yang menghuni senarai pelakon, sama ada yang berpengalaman seperti Robert De Niro dan Michelle Pfeiffer atau yang muda termasuk Zac Efron dan Lea Michelle, rata-ratanya telah memberikan lakonan yang memuaskan menepati tuntutan perwatakan masing-masing.

Kehadiran vokalis kumpulan Bon Jovi iaitu Jon yang menggalas watak penyanyi bernama Jensen lebih mewarnai filem ini.

Harus diakui, sekalipun filem yang berpaksikan cinta, kasih sayang dan hubungan manusia adalah makanan yang paling mengasyikkan dalam sesebuah filem.

Namun, fakta itu bukan satu kekebalan yang boleh menidakkan kegoyahan hakiki NYE.

Dengan lambakan filem bertemakan cinta dihasilkan dari segenap ceruk di dunia ini, kejayaan sesebuah filem yang mengangkat tema begini harus sentiasa kreatif dan berkembang.

Malangnya, tema cinta dalam NYE ini tidak memberikan impak yang diharapkan.

Jika mahu disentuh aspek garapan, kupasan dan penterjemahan skrip tulisan Katherine Fugate ini, apa yang dilihat adalah hidangannya tidak sehebat barisan pelakon yang dipertaruhkan.

Dalam konteks pelbagai sub-plot yang bertunjangkan satu misi iaitu untuk menyambut kedatangan tahun baru dalam suasana cinta dan kasih sayang, filem arahan Garry Marshall ini dirasakan mendatar dan mudah dilupakan.

Tidak seperti kolaborasi Fugate dan Marshall dalam filem cinta sebelum ini iaitu Valentine’s Day (2010) yang lebih mengasyikkan dan meninggalkan impak, NYE terhasil sebagai naskhah yang serba sederhana.

Mungkin, bahagian yang boleh dipuji adalah 15 minit terakhir menuju ke pengakhiran cerita kerana punya sedikit jiwa dan impak daripada keseluruhan pelayaran filem ini.

Adalah menyedihkan, apabila kehadiran pelakon-pelakon pelaris ini dibazirkan untuk plot yang sederhana dan mendatar.

Unsur komedi dan humor yang cuba diselitkan juga bukanlah sesegar mana dan kurang mencuit.

Beberapa jenaka, baik menerusi dialog atau gestur tubuh bagai sudah kerap ditonton dalam filem-filem komedi romantik terdahulu, sekaligus menjadikan aspek itu sesuatu yang klise dan mudah dijangkakan.

Bagaimanapun, elemen hiburan yang disogokkan seiring perjalanan filem ini tetap menyeronokkan.

Cuma, ia gagal mengikat tumpuan untuk terus melekat di skrin sepanjang dua jam durasi filem ini.

Mujurlah, penceritaan yang mendatar dan klise itu meningkat sedikit demi sedikit menjelang pengakhiran filem, lantas memberikan sesuatu yang manis di hujungnya.

NYE ada manis dan pahitnya tetapi garapan yang kurang utuh dan konsisten itu wajar diperhalusi bagi mengelakkan ia mencalar keindahan tema filem ini.

Filem yang merupakan sekuel kepada VD ini mengangkat tema cinta dan kasih sayang di kalangan beberapa individu berasingan menjelang sambutan tahun baru 2012.

Ia merangkumi gabungan beberapa sub-plot antaranya kisah seorang ibu mendepani anak gadis remajanya yang memberontak, pemuda yang membenci kedatangan tahun baru terperangkap di dalam lif dengan jirannya Elise, dua pasangan suami isteri yang merebut hadiah tahun baru menerusi kelahiran bayi mereka, hubungan teman sepejabat dan penyatuan anak dan ayah yang lama terpisah pada malam tahun baru.

FILEM: New Year’s Eve

ARAHAN: Garry Marshall

LAKONAN: Robert De Niro, Sarah Jessica Parker, Michelle Pfeiffer, Hilary Swank, Ashton Kutcher, Abigail Breslin, Jessica Biel, Sofia Vergara, Josh Duhamel, Katherine Heigl, Ludacris, Zac Efron

GENRE: Komedi, romantik

DURASI: 2 jam

EDARAN: Warner Bros Pictures

TAYANGAN: Bermula 8 Disember 2011

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Kolumnis

iklan

Iklan