Kembara Pertama 'Tintin' Yang Menghiburkan

Diterbitkan: Selasa, 15 November 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Babak filem The Adventures Of Tintin: Secret Of The Unicorn menyaksikan Tintin (suara oleh Jamie Bell) dan anjingnya Snowy menyelinap masuk ke perpustakaan untuk mendapatkan pembayang mengenai kapal misteri, Unicorn.
Babak filem The Adventures Of Tintin: Secret Of The Unicorn menyaksikan Tintin (suara oleh Jamie Bell) dan anjingnya Snowy menyelinap masuk ke perpustakaan untuk mendapatkan pembayang mengenai kapal misteri, Unicorn.

POLEMIK mengenai keberkesanan adaptasi filem The Adventures Of Tintin: Secret Of The Unicorn (Tintin) ke layar perak adalah satu topik yang pasti mengundang pelbagai reaksi.

Jika perbandingan dijadikan kayu ukur, pasti versi filem ini mungkin kurang menjanjikan kepuasan maksima sebagaimana pengalaman peminat komik asal ciptaan pelukis warga Belgium Georges Rémi atau Hergé itu.

Pun begitu, secara peribadinya filem arahan seniman ulung Steven Spielberg ini dilihat telah berjaya menawarkan konteks visual dan penceritaan yang tersendiri.

Kalau pun pengisian filem ini tidak terperinci seperti cerita asal komik klasik itu, paling tidak Tintin berjaya memartabatkan naskhah seni itu ke dalam bentuk visual yang bermakna dan akan terus dikenang.

Memang diakui Tintin kaya dengan pelbagai elemen hiburan, baik dari sudut naratif, perwatakan, perjalanan plot sehinggalah aplikasi teknologi, semuanya disisipkan dengan kemas dan teratur.

Namun, timbul juga pertikaian akan kredibiliti Spielberg menggalas aspek lakonan dalam filem kali ini yang mungkin mengundang percanggahan pendapat.

Pada mata kasar, tidak nampak kecelaan atau kelemahan yang jelas terhadap pembinaan watak-watak dalam Tintin.

Namun, jika diamati, perwatakan-perwatakan utama khususnya Tintin (suara Jamie Bell), Captain Haddock (Andy Serkis), Thomson dan Thompson (Simon Pegg & Nick Frost), Ivan Ivanovitch Sakharine/Red Rackham (Daniel Craig) ada pro dan kontranya.

Sebagai contoh, aktor Jamie Bell telah menterjemahkan Tintin dengan baik tetapi pada kebanyakan babak, penterjemahannya itu dirasakan mendatar dan membosankan.

Kekurangan itu turut dikesan pada watak pasangan detektif Thomson dan Thompson lakonan Pegg dan Frost, di mana ia tidak keterlaluan disifatkan sebagai ‘bodoh’ dan tidak selucu mana pun.

Selain kehebatan Serkis yang meminjamkan suara untuk watak Captain Haddock, aktor British Craig juga menjayakan watak hitam Sakharine dengan berkesan dan memberikan impak ekstra kepada Tintin.

Sentuhan dan pendekatan Spielberg dalam naskhah ini mungkin mengundang pelbagai persepsi tetapi satu perkara yang harus diakui Tintin berjaya memaparkan sebuah kembara yang mengghairahkan dan menghiburkan.

Diperkaya pula dengan aplikasi teknologi visual dan audio 3D, serta sinematografi yang membangkitkan keterujaan, perjalanan filem yang menelan kos sebanyak USD 135 juta (RM425.6 juta) ini berjaya mengikat tumpuan.

Filem adaptasi komik klasik terbitan 1929 hingga 1976 ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu The Crab With The Golden Claws, The Secret Of The Unicorn dan Red Rackham’s Treasure menyoroti pertemuan Tintin (Jamie Bell) dengan Captain Haddock (Andy Serkis) dan penemuan mereka dalam mencari pembayang bagi menjejak harat karun Sir Francis Haddock.

Kisah bermula apabila wartawan Belgium, Tintin menemui model sebuah kapal bernama The Unicorn. Penemuan itu juga sekaligus membawa kepada pembayang untuk ekspedisi harta karun yang besar.

Dalam pengembaraan itu, Tintin bersahabat dengan Captain Archibald Haddock yang menjadi kunci utama dalam ekspedisi itu. Malangnya, bukan sahaja Tintin yang memburu harta tersebut.

Mereka turut berdepan ancaman lain yang memaksa mereka mendapatkan perlindungan daripada bekas banduan yang juga mempunyai misi yang sama.

Berjayakah Tintin menemui harta tersebut dan apakah kesudahan pengembaraan ini, jawapannya akan terungkai dalam filem ini.

FILEM: The Adventures Of Tintin: Secret Of The Unicorn

ARAHAN: Steven Spielberg

LAKONAN: Jamie Bell, Andy Serkis, Daniel Craig, Simon Pegg, Nick Frost

GENRE: Pengembaraan, 3D, animasi

DURASI: 1 jam 47 minit

EDARAN: United International Pictures

TAYANGAN: Bermula 10 November 2011

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan