Apek, Johan penyelamat Raya Tak Jadi

Diterbitkan: Isnin, 26 September 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Raya Tak Jadi
Raya Tak Jadi

GANDINGAN dua pelawak iaitu Johan (Raja Lawak) dan Saiful Apek cukup memberi kesan apabila kemunculan mereka berjaya menghidupkan filem Raya Tak Jadi walaupun selama ini penonton sering melihat Johan hanya serasi bersama Zizan.

Filem terbaru arahan pengarah terkenal, Prof Madya A. Razak Mohaideen ini mempamerkan lawak bersahaja di antara mereka selain tidak membuatkan penonton berasa jengkel dengan keletah yang dipamerkan.

Buktinya, selepas seminggu Raja Tak Jadi menjengah ke pawagam ia telah pun mencecah kutipan sebanyak RM4 juta sekali gus menjelaskan gandingan dua heronya itu sebagai faktor utama penggemar filem Melayu keluar menonton.

Di sebalik kekecewaan ia tidak dapat ditayangkan pada Hari Raya Aidilfitri lalu, sekurang-kurangnya A. Razak Mohaideen boleh menarik nafas lega kerana ia mendapat sambutan menggalakkan.

Raya Tak Jadi mengisahkan Leo seorang ahli perniagaan kurma telah merancang untuk menculik Penyimpan Mohor Besar Raja Raja iaitu Haji Ehsan (Jalaludin Hassan) kerana kontena kurmanya tidak tiba seperti yang diharapkan.

Oleh kerana itu, Leo telah mengarahkan dua pekerjanya untuk menculik Haji Ehsan tetapi teksi yang digunakan untuk kegiatan tersebut telah tertukar dengan teksi milik Shuib (Saiful Apek).

Tanpa menyedari, Haji Ehsan sebenarnya mempunyai saudara kembar bernama Haji Hassan menyebabkan konflik penculikan itu terus berlaku.

Dalam pada itu, selain gandingan mantap kedua-dua pelawak itu, Raya Tak Jadi adalah filem yang agak berlainan dengan filem-filem terdahulu dihasilkan oleh A. Razak Mohaideen tetapi kurang menarik dari segi plotnya.

Mengangkat tema Hari Raya, A.Razak Mohaideen dilihat gagal menyerlahkan plot penceritaan dan terlalu bergantung kepada lakonan Saiful Apek dan Johan bagi menghidupkan filem ini.

Di samping itu juga, tumpuan jalan cerita kepada menyelesaikan misteri ‘kematian’ watak Haji Hassan telah mengurangkan ‘tema’ Hari Raya yang cuba ditonjolkan.

Namun konsep dan idea asal filem ini harus diberikan pujian kepada tenaga produksi kerana ia boleh dikatakan berbeza dengan filem-filem bertema Hari Raya sedia ada.

Cuma sedikit cela apabila ‘mood’ raya itu tidak dapat dijiwai mungkin kerana Hari Raya sudah hampir ke penghujungnya dan adalah sesuatu merugikan ia tidak dapat ditayangkan pada awal raya.

Sementara itu, persembahan watak-watak pembantu seperti Datuk Jalaluddin Hasaan, Wan Sharmila, Nooren Noor dan lain-lain tidak mengecewakan sama sekali.

Jalaluddin yang jarang dapat dilihat memegang watak-watak berunsurkan humor dan komedi nyata memberikan persembahan cemerlang dan tidak ketinggalan kepada artis popular 80-an Nooren Noor yang tidak kurang hebat dalam filem tersebut.

Walaupun Raya Tak Jadi sebuah filem yang ‘biasa’ sahaja, namun sesuai untuk ditonton jika anda menginginkan sebuah filem yang ringan dan santai mampu menggeletek hati penonton.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan