Siri Terakhir Harry Potter Penuh Sentimental

Diterbitkan: Isnin, 18 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Lord Voldemort berhasrat membunuh Harry Potter.
Lord Voldemort berhasrat membunuh Harry Potter.

SIRI terakhir filem adaptasi kegilaan ramai Harry Potter ini pastinya akan terus mekar di hati dan minda penggemarnya meskipun ia bernoktah dalam Harry Potter and The Deathly Hallows: Part 2 (HPDH2).

Bagi yang setia dengan pengembaraan dan ceritera suka duka Harry Potter lakonan Daniel Radcliffe dan rakan-rakannya sejak sedekad yang lalu, siri kelapan arahan David Yates ini pasti menjadi penutup yang cukup sentimental.

Sebagai bahagian terakhir, HPDH2 berjaya menghidangkan satu wadah yang bernilai.

Dalam erti kata lain, filem terakhir ini membanggakan kerana berjaya menawarkan episod pengakhiran yang memuaskan untuk terus dikenang.

Jika dibentangkan perjalanan kekuatan filem ini, jelas sekali HPDH2 lengkap dengan plot, aksi, emosi dan persembahan visual yang baik.

Malahan, dalam keterujaan David Yates dan penulis skrip Steve Kloves memaparkan sebuah filem yang kaya elemen hiburan, gandingan ini tidak terlepas untuk mengukuhkan lagi filem ini dengan babak-babak penting termasuk imbasan semula latar belakang Harry Potter dan beberapa plot yang menjadi nadi hikayat remaja sakti ini.

Justeru, bagi penonton yang tidak pernah mengikuti atau sekadar mengetahuinya secara permukaan saja masih boleh sekurang-kurangnya memahami dan mendapat gambaran tentang Harry Potter.

Aplikasi teknikal dan teknologi yang merangkumi syot, imej janaan berkomputer (CGI), kesan bunyi, transisi babak dan pewarnaan yang dicurahkan memang mengagumkan.

Pendek kata, penelitian produksi HPDH2 berhasil menerbitkan sebuah karya yang tidak hanya utuh pada jenama dan plot bahkan tinggi bahasa filemnya.

Antara babak-babak memukau menerusi janaan hebat teknologi kesan khas adalah ketika Harry, Ron dan Hermione menyusup masuk ke Bank Gringotts untuk mencuri pedang Gryffindor dan serangan Lord Voldermont terhadap istana Hogwarts.

Apabila bercakap soal lakonan pula, persembahan bintang-bintang besar yang membarisi filem ini ternyata meyakinkan dan berkesan.

Selain aksi menawan tiga teraju utama Daniel Radcliffe, Emma Watson sebagai Hermione Granger dan Rupert Grint (Ron Weasley), aktor British Ralph Fiennes (Maid in Manhattan, The Reader) terus cemerlang menggalas Lord Voldermont yang cukup digeruni.

Begitu juga aksi Alan Rickman (Love Actually, Harry Sweeney Todd: The Demon Barber of Fleet Street) selaku Professor Severus Snape yang menyimpan sejarah hitam pada keluarga Potter.

Malah, watak-watak pembantu dilihat menonjol sama rata sekalipun untuk beberapa babak saja.

Di sebalik segala keterujaan yang dipaparkan, ada satu aspek yang lebih menarik untuk dikupas. Menerusi HPDH2, penonton dapat menyaksikan keindahan watak Harry Potter yang meniti kedewasaan dan kematangan seiring dengan tempoh 10 tahun kembara filem ini.

Bermula dengan seorang kanak-kanak lelaki yang naif dalam Harry Potter And the Philosopher’s Stone (2001), proses pembesaran Harry menerusi fizikal, pemikiran dan emosinya disajikan dengan kemas dan cermat sehingga kita mampu melihat sisi berbeza Harry yang semakin kompleks dan berani.

HPDH2 berkisar pada Harry Potter, Hermione Granger dan Ron Weasley yang meneruskan misi mereka untuk mencari dan menghapuskan objek bernama Horcrux.

Objek tersebut adalah sangat penting bagi Lord Voldermont bagi menjamin kelangsungan hidupnya untuk kekal abadi.

Namun kembara mereka terus diuji pelbagai kejadian sehingga memaksa tiga sahabat ini kembali ke sekolah lama di Hogwarts selepas Harry menyedari objek tersebut sebenarnya tersembunyi di sana.

Lord Voldermont yang mengetahui misi tersebut cuba untuk menghalang Harry dengan melakukan serangan terhadap kubu pertahanan Hogwarts sehingga berlakunya pertumpahan darah dan kemusnahan.

Adakah Harry dan rakan-rakannya berjaya menemui Horcrux untuk menghapuskan Lord Voldermont? Atau mungkinkah Harry yang terkorban dalam serangan itu? Jawapannya akan dikupas dalam siri terakhir ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan