Momentum seram musnahkan Karak

Diterbitkan: Ahad, 5 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

(Dari kiri) Along Eyzendy, Shahir AF8, Shera Ayob dan Kilafairy dalam filem Karak.
(Dari kiri) Along Eyzendy, Shahir AF8, Shera Ayob dan Kilafairy dalam filem Karak.

FILEM: Karak

ARAHAN: Yusry Abdul Halim

LAKONAN: Shahir Zawawi, Shera Aiyob, Kilafairy, Along Eyzendy, Sidek Hussin

GENRE: Seram

DURASI: 1 jam 36 minit

EDARAN: KRU Films

TAYANGAN: Bermula 26 Mei 2011

SELEPAS menggemparkan industri perfileman tempatan dengan filem epik Hikayat Merong Mahawangsa yang ditayangkan pada Mac lalu, Yusry Abdul Halim kembali dengan filem kelimanya, Karak.

Mendengarkan tajuknya saja sudah tentu ramai yang dapat meneka apa intipati filem ini. Namun, Karak bukanlah himpunan mitos atau cerita rakyat tentang lebuh raya itu semata-mata.

Sebaliknya, kisah-kisah seram daripada lebuh raya itu hanyalah cebisan kecil yang disulam dalam kisah perjalanan empat sahabat yang terlibat dalam kemalangan ketika melalui jalan lama untuk menuju ke Kuantan.

Karak bermula dengan baik. Adegan pertama yang memaparkan sepasang suami isteri terkandas di lebuh raya itu pada tengah malam kerana kereta mereka rosak cukup meyakinkan untuk permulaan yang mendebarkan.

Ngeri dan misteri yang menyulami perjalanan awal plotnya hampir saja menjanjikan nilai seram yang tersendiri.

Malah, syot-syot dan teknik sinematografi banyak menyumbang kepada elemen suspens.

Sayangnya, momentum itu gagal dikekalkan. Graf filem ini menjunam saling tidak tumpah seperti babak kemalangan kereta yang dipandu oleh empat pelakon utamanya.

Selepas babak tersebut, baki perjalanan filem ini kian bercelaru dan lesu bagai tiada arah tuju.

Dari situ, kegoyahan Yusry dalam mengawal naratif dan skrip filem ini semakin ketara.

Jika disentuh pada aspek lakonan, keberanian Yusry dalam mengetengahkan empat muka baru sebagai teraju utama Karak harus dipuji.

Malah, menurut penjelasan dan prinsip yang diutarakannya, pemilihan itu adalah berinspirasikan daripada pendekatan yang sering digunakan oleh kebanyakan pembikin filem seram dan ngeri dari Hollywood.

Berdasarkan teori Yusry, muka-muka baru yang masih segar dan asing di mata penonton mampu memberi kesan yang lebih semula jadi dan realistik dalam menggalas karakter masing-masing.

Justeru, selepas menyaksikan lakonan Shahir (AF8), Shera Aiyob, Kilafairy dan Along Eyzendy dalam Karak, mungkin ada benarnya juga pendekatan itu.

Atas pertimbangan bahawa ini adalah filem pertama lakonan Shahir, Shera Aiyob dan Kilafairy, maka apa yang dipersembahkan oleh mereka boleh dianggap memuaskan cuma kurang rasa.

Sementara yang lebih menonjol pastinya penterjemahan daripada dua pelakon yang lebih berpengalaman iaitu Along Eyzendy dan Sidek Hussin.

Walaupun nama dan kelibat Along Eyzendy masih asing di kalangan peminat hiburan, potensinya yang berbekalkan seni teater banyak melonjakkan karisma lakonannya.

Aktor veteran Sidek Hussin pula tidak perlu disangkal lagi. Percaya atau tidak, bonjolan pada wajahnya itu sebenarnya lebih menambahkan imej misteri dan suspens pada watak Tok Malam yang dilakonkannya.

Kredibiliti Yusry dalam mengemudi aspek teknikal termasuk kesan khas, imej janaan berkomputer (CGI) dan bunyi memang meyakinkan.

Pertikaian yang timbul adalah tentang kemampuan pengarah ini untuk meyampaikan sebuah filem yang punya inti pati kukuh.

Selepas beberapa filem diarahkannya tidak kira apa juga genre, Yusry sebenarnya masih berdepan kemelut untuk menyampaikan sebuah penceritaan yang utuh dan berkesan.

Gaya berbeza

Pun begitu, pendekatan segarnya dalam menyampaikan cerita seram dengan gaya berbeza menarik perhatian.

Tiada apa celanya dengan pemilihan imej hantu seperti makhluk asing yang diinspirasikan daripada siri HBO Tales from the Crypt (1989-1996) itu.

Mungkin ada yang melihat imej tersebut sebagai sesuatu yang aneh dan tidak nampak seperti hantu tetapi kelainan itu sebenarnya satu idea yang baik.

Tiada garis panduan pun yang menetapkan imej hantu dan syaitan harus muncul dalam bentuk tertentu. Maka, tiada salahnya dengan apa yang dizahirkan oleh Yusry itu.

Mesej yang cuba dikongsikan iaitu mengenai jati diri dan keimanan individu dalam menghadapi godaan syaitan adalah kupasan yang baik.

Dalam cuba untuk menghibur dan menakutkan penonton, pada masa yang sama mesej positif itu cukup jelas diketengahkan.

Sebagai sebuah filem seram, Karak bukan filem lapuk tetapi tidak juga memukau. Ia boleh dianggap sebagai sebuah eksperimen seram yang sederhana.

Ringkasnya, Karak berkisar tentang perjalanan empat sahabat iaitu Nik lakonan Shahir, Zura (Shera Aiyob), Jack (Along Eyzendy) dan Ida (Kilafairy) dari Kuala Lumpur ke Kuantan.

Ekoran kesesakan luar biasa yang berlaku di lebuh raya Karak, mereka membuat keputusan untuk mencari jalan alternatif dengan melalui jalan lama.

Tanpa mereka sedari, keputusan itu sebenarnya bakal mengubah nasib mereka untuk selama-lamanya.

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan