'On Stranger Tides' Tidak Menghampakan

Diterbitkan: Selasa, 24 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides
Pirates of the Caribbean: On Stranger Tides

SAMBUNGAN filem Pirates of the Caribbean sememangnya ditunggu-tunggu kebanyakan peminat filem seluruh dunia dan pastinya ramai yang akan berpuas hati jika menonton karya susulan terbarunya, Pirates of the Carribean: On Stranger Tides.

On Stranger Tides adalah sambungan francais filem Pirates of the Caribbean pertama yang diarahkan Rob Marshall yang mengambil alih tanggungjawab daripada pengarah tiga karya rangkaian filem ini yang sebelumnya iaitu Gore Verbinski.

Kali ini watak Jack Sparrow lakonan Johnny Depp dan seterunya mengembara mencari Telaga Hayat (Fountain of Youth ) yang dikatakan boleh memberi kekebalan usia kepada mereka yang berjaya merintangi halangan-halangan untuk mendapatkan dan meminum air daripada telaga tersebut.

Jack telah terjumpa seorang wanita dari kisah silamnya yang bernama Angelica lakonan Penelope Cruz.

Apa yang tidak diketahui Jack, wanita itu sebenarnya seorang yang licik dan berpengaruh dan merancang untuk mendapatkan air Telaga Hayat.

Angelica bersama Jack menaiki kapal Queen Anne’s Revenge pergi belayar memenuhi syarat-syarat untuk medapatkan apa yang dihajati mereka.

Namun mereka tidak keseorangan. Pihak British yang mewakilkan si lanun Barbossa dan kerabat Diraja Sepanyol juga telah mengetahui tentang kewujudan telaga itu malah ketiga-tiga pihak tidak sedar mereka sebenarnya berlumba sesama sendiri untuk ke satu lokasi di mana terletaknya telaga ajaib yang dicari-cari itu.

Jalan cerita karya ini tidaklah sepantas yang diharapkan namun tidak pula membosankan.

Sukar hendak mengagak apakah yang akan berlaku seterusnya pada sesetengah transisi babak.

Walaupun ia sebuah filem ringan, namun sesetengah plotnya mampu mencabar minda penonton dengan caranya yang tersendiri.

Terdapat beberapa tema yang yang tidak dijangka akan dibawa secara mendalam dalam filem yang berdurasi selama dua jam ini.

Pegangan agama adalah salah satu daripadanya. Tema keagamaan ini dizahirkan oleh kerajaan Sepanyol yang mempunyai misi tersendiri mengapa mereka mencari telaga ajaib itu dan tema ini ditonjolkan lagi oleh seorang paderi muda yang menjadi tahanan kapal Queen Anne’s Revenge.

Hubungan bapa dan anak juga ditonjolkan melalui hubungan akrab Angelica dan bapanya yang telah lama terpisah iaitu Blackbeard si lanun yang berkuasa. Kebenaran mengenai hubungan kekeluargaan tersebut menjadi teka-teki sepanjang pengembaraan mereka.

Dua aspek yang ditonjolkan ini seakan memberi suntikan jiwa kepada rangkaian filem tersebut yang berkisar tentang kehidupan dan pengembaraan lanun dan orang gasar.

Watak Jack Sparrow lakonan mantap Johnny Depp tidak dinafikan menjadi penarik utama filem ini. Kelincahan dan kelicikannya membuatkan penonton terhibur setiap kali kemunculannya.

Bagaimanapun watak Jack kali ini kurang sikap gila-gila dan flamboyannya yang menjadi rujukan jika penonton menggambarkan karakter dominan ini.

Penelope Cruz adalah aktres yang terbaik untuk mendokong watak gadis latin yang cantik namun lincah, Angelica.

Bagaimanapun, latar belakang dan kisah silam watak Angelica sepatutnya perlu diceritakan dengan lebih terperinci.

Disebabkan ketiadaan plot ini, watak dan peranan Angelica dilihat tidak begitu kuat. Mungkin pengarah mahu membongkar cerita dan sejarah silam Angelica di dalam sambungan yang akan datang.

Apapun, pujian harus diberi kepada dua nama besar Hollywood ini kerana berjaya mencapai keserasian antara satu sama lain walaupun masih banyak yang boleh diperbaiki.

Kemunculan watak-watak ikan duyung bagaikan melengkapkan fantasi ramai penggemar cerita fiksyen. Watak fantasi ini tetap digambarkan sebagai satu makhluk yang indah dan menggoda namun filem ini memberi satu sisi yang berbeza terhadap keperibadian ikan duyung.

Tidak sempurna rasanya jika tidak menyentuh tentang kesan khas teknik janaan komputer (CGI) yang digunapakai. Filem ini berjaya menyajikan para penonton dengan teknologi CGI yang hebat, terperinci dan hampir mencapai kesempurnaan secara keseluruhannya.

Walaupun penggunaan teknologi ini adalah biasa bagi produksi barat namun pujian tetap harus diberi kepada usaha mereka yang terbabit menyempurnakan efek khas dalam karya ini.

Bagaimanapun, terdapat beberapa babak yang lemah seperti aksi-aksi pergaduhan yang tidak relevan dan beberapa baris skrip yang saja dibuat-buat untuk mengelirukan penonton. Malah ia kelihatan tidak bersahaja.

Penonton yang biasa menonton cerita yang kukuh skripnya boleh mengesan kelemahan ini dengan senang.

Secara umumnya On Stranger Tides adalah lebih baik daripada karya sebelumnya iaitu Dead Men’s Chest kerana terdapat watak baru yang segar dan jalan cerita yang tidak membosankan.

Malah kali ini terdapat lebih banyak aksi menarik dan telatah jenaka mencuit hati yang ditonjolkan terutamanya daripada Jack Sparrow.

Tidak salah rasanya jika filem yang membuai anda di dalam satu pengembaraan yang boleh dikatakan sebagai salah satu karya layar perak yang wajib ditonton pada tahun ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan