'Kongsi', Keliru Tetapi Menghiburkan

Diterbitkan: Ahad, 15 Mei 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pertemuan tiga geng kongsi gelap, kumpulan Melayu diketuai Tok Maliki (Shafie Jaafar), geng India diketuai Victor (Verasingam) dan geng Cina yang diketuai oleh Jimmy (Chew Kin Wah).
Pertemuan tiga geng kongsi gelap, kumpulan Melayu diketuai Tok Maliki (Shafie Jaafar), geng India diketuai Victor (Verasingam) dan geng Cina yang diketuai oleh Jimmy (Chew Kin Wah).

APA yang cuba dipaparkan pengarah dan pelakon Farid Kamil menerusi filem terbarunya, Kongsi sangat mengelirukan.

Bukan menyangkal pakej komedi aksi yang diterapkan pengarah berusia 30 tahun ini kerana dua elemen tersebut diadun secukup rasa.

Namun, plot serta naratif Kongsi yang lemah dan longgar itu seakan merencatkan sebuah filem yang sewajarnya kukuh terbina.

Tutup sebelah mata sahaja pada apa juga kepincangan teknikal kerana kita sedar akan kapasiti terhad produksi filem Malaysia.

Atas lesen filem tempatan, apa yang telah Farid Kamil perjudikan dalam Kongsi adalah baik secara kolektif.

Yang mengundang keraguan dan ralat adalah garapan dan naratif lemah di sebalik aksi pergaduhan, kejar-mengejar dan lagak ngeri yang begitu teruja.

Selepas 90 minit filem berakhir, timbul persoalan terhadap kejituan cerita itu sendiri.

Memadai bentuk hiburan kosong sebegini dikongsi dengan penonton?

Sekadar ke pawagam untuk 'dibuai' babak pergaduhan dan kejar-mengejar berserta hilai-tawa pada babak lucu tetapi dangkal inti patinya?

Mungkin yang lebih menjadi keutamaan bagi produksi Kongsi adalah menghiburkan penonton.

Dan jika itu sasarannya, maka tercapailah matlamat tersebut.

Tetapi bagaimana pula dengan visi untuk melonjakkan standard filem kita ke tahap lebih tinggi seperti yang riuh dicanangkan?

Tanpa secalit prejudis, Kongsi sebenarnya boleh menjadi filem komedi aksi yang kukuh seandainya penelitian dicurahkan pada aspek plot dan naratif.

Pada barisan pendukung karakter-karakter filem ini, kredibiliti Shaheizy Sam tidak diragui.

Shaheizy Sam yang menggalas watak pembunuh upahan yang serba canggung bernama Tumulak itu berupaya menzahirkan gaya lakonan berkesan.

Malah, pesona Sam yang bijak memanipulasi karakter antagonis, serius, lucu dan pelik dalam dialek Kelantan Siam itu adalah nadi filem ini.

Selain Sam, mungkin hanya aksi Azad Jasmin sebagai Mikail, Shafie Jaafar atau Pak Piee (Tok Maliki), Chew Kin Wah (Jimmy) dan Verasingam (Victor) saja yang meninggalkan impak.

Sebaliknya, kehadiran tiga pelakon pembantu iaitu Fizo Omar (ASP Shariff), Yana Samsudin (Inspektor Olla) dan Putri Mardiana (Inspektor Yati) sukar melekat di minda dek kesederhanaan lakonan mereka.

Komitmen

Pun begitu, komitmen kesemua pelakon dan krew menjayakan aksi pertarungan dan lagak ngeri itu harus dipuji.

Malah, ketegangan babak-babak tersebut yang diselangi gaya dan dialog lucu menjadikan Kongsi sebuah filem yang punya nilai tersendiri.

Sebagai pengarah yang menggarap lakon layar, masih banyak perkara yang boleh Farid Kamil perbaiki pada masa akan datang.

Bagi yang 'menggilai' Shaheizy Sam dan ingin menikmati sebuah filem yang ringan, pantas dan mengasyikkan, filem ke-45 terbitan Metrowealth ini menawarkan pakej itu.

Kongsi bermula apabila pembunuh upahan Tumulak lakonan Shaheizy Sam datang ke Kuala Lumpur untuk mengkucar-kacirkan kegiatan kumpulan-kumpulan kongsi gelap yang diketuai Tok Maliki (Pak Piee), Jimmy (Chew Kin Wah) dan Victor (Verasingam).

Kematian seorang demi seorang ahli kumpulan masing-masing telah menimbulkan perbalahan sesama mereka tanpa mereka mengetahui individu sebenar di sebalik kejadian tersebut.

Kekacauan yang silih-berganti itu turut mengundang campur tangan pihak polis yang diketuai oleh ASP Shariff (Fizo Omar) untuk menjejak Tumulak.

FILEM: Kongsi

ARAHAN: Farid Kamil

LAKONAN: Shaheizy Sam, Fizo Omar, Yana Samsudin, Putri Mardiana, Bront Palarae, Shafie Jaafar

GENRE: Komedi, aksi

DURASI: 1 jam 30 minit

EDARAN: Metrowealth

TAYANGAN: Bermula 12 Mei 2011

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan