Kejujuran Di Sebalik Kekurangan '...Dalam Botol'

Diterbitkan: Selasa, 29 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Dua pelakon utama filem ... Dalam Botol, Arja Lee (kiri) dan Wan Raja di samping pengarah Khir Rahman (tengah) pada sesi tayangan perdana filem itu di ibu kota, baru-baru ini.
Dua pelakon utama filem ... Dalam Botol, Arja Lee (kiri) dan Wan Raja di samping pengarah Khir Rahman (tengah) pada sesi tayangan perdana filem itu di ibu kota, baru-baru ini.

REALITINYA, ...Dalam Botol (DB) tidak segah rantaian kontroversi yang mendampingi filem ini sejak tiga tahun lalu. Pun begitu, keindahan filem ini terletak pada kejujuran dan ketidaksempurnaan yang menyulami penceritaannya.

Kekurangan DB dalam kekelaman dan kecanggungan itu sebenarnya menyerlahkan paparan visual yang sederhana, bermakna dan mendalam.

Pujian harus diberikan kepada pengarahnya Khir Rahman yang bijak membentuk filem ini seadanya. Pertama kali mengarahkan filem, sentuhan Khir mencernakan sebuah filem yang punya karakter tersendiri.

Pada dasarnya, filem ini mempunyai plot dan garapan yang baik. Naskhah ini secara fitrahnya berat dan kaya dengan nilai estetikanya.

Namun, agak meralatkan apabila gandingan dua aktor baru iaitu Arja Lee (sebagai Rubidin/Ruby) dan Wan Raja (Ghaus) kurang berkesan di depan layar.

Arja Lee dan Wan Raja tampak naif dan cetek untuk menggalas dua karakter utama yang menunjangi plot DB.

Walaupun telah mencuba sebaik mungkin, mereka dilihat terlalu kerdil untuk menerajui Ruby dan Ghaus. Sehinggakan pada kebanyakan babak, lakonan Arja Lee dan Wan Raja bagai 'ditelan' oleh watak mereka sendiri.

Paling ketara, Arja dan Wan lemah pada permainan emosi dan ekspresi wajah sehingga menggoyahkan momentum babak-babak emosi yang penting. Pun begitu, sebagai orang baru kesungguhan mereka itu wajar dipuji.

Mujurlah, pelakon-pelakon pembantu seperti Diana Danielle, Fauziah Ahmad Daud, Normah Damanhuri dan Jalil Hamid memberikan lakonan yang menyakinkan.

Pendek kata, perjalanan DB diselamatkan oleh bintang-bintang pembantu ini yang bukan sahaja mengimbangi kekurangan Arja Lee dan Wan Raja, malah turut menghidupkan plot filem ini.

Turut menarik perhatian adalah pergerakan kamera yang berperanan sebagai pencerita. Pendekatan itu memberikan lebih rasa dan penjiwaan dalam DB.

Menilaikan DB secara keseluruhannya, mungkin karya ini boleh dianggap sebagai nukilan terbaik penerbit juga penulis kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman.

Barangkali, satu rasa yang boleh disimpan kemas oleh Khir dan Raja Azmi adalah berbangga kerana bukan sahaja menambahkan warna filem Malaysia, malah turut melunaskan tanggungjawab sosial sebagai penggiat seni.

Filem yang berinspirasikan kisah benar ini menyingkap cerita cinta sejenis di antara Rubidin (Arja Lee) dan Ghaus (Wan Raja).

Demi cinta, Rubidin sanggup mengubah identitinya kepada Ruby dengan melakukan pembedahan menukar jantina dengan harapan agar Ghaus terus menyintainya.

Malangnya, Ghaus tidak dapat menerima perubahan fizikal itu sekali gus menyingkirkan Ruby dari hidupnya.

Menyesal dengan perbuatannya, Rubidin pulang ke kampung dan cuba untuk berubah. Desakan ibunya (Normah Damanhuri) untuk melihat Rubidin berkahwin telah menemukannya dengan teman sekampung, Dina (Diana Danielle).

Berjayakah Rubidin mengatasi naluri songsangnya dan membuka hati untuk Dina, jawapannya akan terjawab dalam DB.

FILEM: ...Dalam Botol ARAHAN: Khir Rahman LAKONAN: Arja Lee, Wan Raja, Diana Danielle, Fauziah Ahmad Daud, Normah Damanhuri GENRE: Drama DURASI: 1 jam 38 minit EDARAN: Metrowealth TAYANGAN: 24 Mac 2011

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan