Hebat dan Lemah 'Hikayat Merong Mahawangsa'

Diterbitkan: Isnin, 14 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Stephen Rahman-Hughes sebagai Merong Mahawangsa.
Stephen Rahman-Hughes sebagai Merong Mahawangsa.

BANYAK aspek menarik yang boleh dikupas mengenai filem aksi epik terbaru Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) terbitan KRU Studios ini.

Disebut-sebut sebagai sebuah produksi paling gah dalam kalendar perfileman Malaysia selepas Puteri Gunung Ledang (2004), ternyata komitmen Yusry Abdul Halim di kerusi pengarah telah mencernakan hasil yang membanggakan.

Menerusi HMM, jelas sekali pengarah berusia 36 tahun itu memperlihatkan peningkatan dan kematangannya berbanding dua filem francais Cicak-Man (2006) dan Cicak-Man 2: Planet Hitam (2008) sebelum ini.

Malah, penterjemahan hikayat tersebut mengikut stail dan kreativitinya secara teknik imbasan semula (flasback) adalah pendekatan yang harus dipuji.

Eksplorasi Yusry dalam penggunaan prosa Melayu klasik yang menyaluti skrip filem, kostum dan set yang relevan, imej janaan berkomputer (CGI) serta kesan bunyi turut memberangsangkan.

Teknik CGI yang ditampilkan memperlihatkan kreativiti penghasilan filem ini. Ia sesuatu yang luar biasa jika dibandingkan dengan karya-karya terbitan anak tempatan lain.

Stephen Rahman-Hughes, selaku tunggak utama iaitu Merong Mahawangsa mendukung watak hero itu dengan baik. Imej keperkasaan, mimik muka dan gestur tubuhnya dilihat selaras dengan tuntutan watak itu.

Namun, sedikit merimaskan apabila pertuturan dwi bahasa iaitu Inggeris dan Melayu yang silih berganti di bibir Stephen Rahman kedengaran canggung pada kebanyakan masa.

Memperkuatkan lagi hikayat raja pertama Langkasuka itu, kehadiran aktor Khir Rahman (Kamawas), Wan Hanafi Wan Su (Taji), Nell Ng (Ying Ying) dan Ummi Nazeera (Embok) telah menambahkan lagi warna filem ini.

Paling menarik perhatian adalah watak 'hitam' Khir Rahman. Khir menterjemahkan watak lanun yang rakus dan antagonis itu dengan baik.

Diperakui gah pada jenamanya, pun begitu lohong dan kekurangan HMM tidak boleh disangkal begitu sahaja. Paling ketara adalah aspek garapan dan lakon layar.

Pada kebanyakan babak, terutamanya yang melibatkan perbualan Lycius (Hendrik Norman) dan Putera Marcus (Gavin Stenhouse), lakonan mereka tampak begitu terikat dengan skrip. Justeru, pertuturan mereka dirasakan kurang berkesan dan tidak bersahaja.

Mungkin aspek ini sedikit merencatkan kesempurnaan yang diharapkan tetapi tidaklah sampai membinasakan filem ini keseluruhannya.

Namun, kelemahan dua aspek itu tetap memberikan kesan pada momentum HMM yang turun naik dan tidak konsisten sepanjang durasi 1 jam 50 minit itu.

Biarpun kita sedia maklum teknik imbasan semula itu memaparkan gred warna yang pudar, namun alangkah baiknya jika mutu visual HMM dipertingkatkan agar nampak lebih jelas dan gah seperti filem-filem epik luar, umpamanya Gladiator (2000), Alexander (2004), The Warlords (2007) atau Three Kingdoms: Resurrection of the Dragon (2008).

Sebaliknya, gred warna filem itu yang agak kusam menjejaskan perincian visual sehingga objek yang dipaparkan pada layar adakalanya terlalu kabur dan tidak jelas.

Seandainya sinematografi pimpinan Mohd Noor Kassim itu dapat dipertingkatkan lagi terutamanya pada babak-babak cemas dan pertarungan, pasti visual HMM akan nampak lebih gah dan 'besar' seiras filem epik antarabangsa.

Sekalipun HMM tidak berhasil menjadi segah yang diimpikan, tiap perincian dan jerih-perih pengarah itu dalam menawarkan kelainan pada naskhah ini wajar dihargai.

Apatah lagi, dalam lingkungan keterbatasan modal, tenaga, sumber dan kepakaran yang memagari penerbitan HMM, filem epik ini masih mampu membuatkan kita tersenyum bangga.

Maka, nikmatilah ia dengan hati terbuka kerana HMM memberikan anjakan yang segar dalam pembikinan filem Malaysia khususnya dunia wayang Melayu. Diadaptasi daripada kronologi hidup Merong Mahawangsa pada kurun kedua, HMM dipersembahkan dengan interpretasi moden dan segar.

Ia mengisahkan seorang nakhoda dan pahlawan iaitu Merong Mahawangsa (Stephen Rahman-Hughes) yang berasal daripada keturunan Iskandar Zulkarnain.

Kisah bermula apabila angkatan tentera Rom yang diketuai Putera Marcus (Gavin Stenhouse) singgah membaiki kapal mereka di Goa, India dan terpikat dengan keperkasaan Merong sebagai pahlawan.

Mereka meminta pertolongan Merong untuk mengiringi rombongan tersebut ke Langkasuka (dikatakan terletak di utara Malaysia) untuk berkahwin dengan Puteri Meng dari Dinasti Han di China.

Konflik dan aksi HMM tiba di kemuncak apabila puak lanun Geruda yang diketuai oleh Taji (Wan Hanafi Wan Su) bertindak menculik Puteri Meng dan menjadikannya sebagai tebusan.

FILEM: Hikayat Merong Mahawangsa ARAHAN: Yusry Abdul Halim LAKONAN: Stephen Rahman Hughes, Jing Liu, Gavin Stenhouse, Craig Fong, Datuk Rahim Razali, Ummi Nazeera, Wan Hanafi Wan Su, Khir Rahman, Jehan Miskin, Mano Maniam GENRE: Epik, aksi DURASI: 1 jam 50 minit TERBITAN & EDARAN: KRU Studios TAYANGAN: 10 Mac 2011

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan