Filem 'Sini Ada Hantu' Canggung Tapi Berkesan

Diterbitkan: Isnin, 14 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Barisan pelakon dan tenaga produksi filem Sini Ada Hantu.
Barisan pelakon dan tenaga produksi filem Sini Ada Hantu.

MAGISNYA sentuhan terbaru pengarah James Lee dalam filem Sini Ada Hantu (SAH) memang tidak mampu disangkal.

Pertaruhan Pengarah Harapan Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) ini yang membariskan pelakon-pelakon segar adalah tindakan yang efisien.

Bayangkan, dengan kandungan cerita yang ringkas, naratif yang menarik dan lakonan bersahaja, kesemua elemen ini bersatu di dalam adunan yang serba menjadi.

Keberanian James mengetengahkan dua muka baru yang bukan berstatus bintang iaitu Alvin Wong dan Baki Zainal selaku pencerita dan subjek utama ternyata berkesan.

Dua bintang utama itu berjaya menonjolkan lakonan yang meyakinkan.

Mungkin Alvin agak asing di pentas perfileman Melayu tetapi wajahnya sering menghiasi pelbagai sitkom dan teater berbahasa Inggeris, drama-drama Cina tempatan dan iklan komersial.

Alvin yang memainkan watak pemandu syarikat iaitu Ah Meng cukup meyakinkan dengan pertuturan, ekpresi wajah dan gestur tubuh yang baik.

Bergandingan dengan Alvin, muka baru di arus perdana, Baki Zainal juga tidak canggung menterjemahkan peranannya sebagai rakan sepejabat bernama Bakri.

Lakonan Alvin dan Baki sebagai pencerita kepada tiga kisah hantu iaitu Hantu Pokok Pisang, Hantu Nombor Ekor dan Hantu Asrama tampak bersahaja dan serasi.

Menyerlah

Memang diperakui, SAH tiada kelebihan jika disukat sebagai pakej komersial, namun dalam kekurangan itu pesona filem tersebut menyerlah seiring dengan perjalanan ceritanya.

Disulam kemas dengan penceritaan yang ringkas, perjalanan SAH dari awal hingga ke akhir boleh disifatkan sebagai filem yang canggung dan naif tetapi cukup manis untuk dinikmati.

Menggabungkan konsep cerita dalam cerita, idea tersebut bagaimanapun bukan sesuatu yang segar dalam konteks sesebuah filem.

Bahkan, pada kebanyakan masa, mungkin ada yang dapat menghidu bayangan filem Momok The Movie (2009) yang turut berpaksi pada konsep cerita dalam cerita.

Jika diamati perjalanan SAH, kecanggungan filem ini terserlah pada aspek transisi babak yang tidak lancar serta pembinaan dialog yang longgar.

Namun, kewujudan Alvin dan Baki banyak menyelamatkan keadaan, lantas mengimbangi kelemahan tersebut.

Sentuhan James pada aspek teknikal juga banyak membantu menghidupkan suasana seram dan realistik pada filem ini.

Yang menariknya, pemilihan syot dan pergerakan kamera berjaya menaikkan suasana debaran dan seram yang bersulam komedi.

Daripada tiga cerita tersebut, penceritaan Hantu Pokok Pisang dirasakan kurang menyengat. Malah, kemunculan khas aktres Fasha Sandha selaku hantu pokok pisang adalah ‘umpan murah’ yang mengecewakan.

Tidak bernas

Hanya kerana ingin mengeksploitasi pesona bintang itu, kehadiran Fasha yang sekadar senyum tanpa berdialog adalah pendekatan yang tidak bernas.

Namun, para pelakon lain seperti Qhaud, Beto Kusyairy, Kuswadinata, Kazar Saisi, Ramasundran, Pete Teo dan ramai lagi yang mewarnai tiga sub-cerita itu patut dipuji, sekaligus menjadikan SAH sebuah filem ringan yang menyeronokkan.

Ringkasnya, SAH berkisar pada kisah dua rakan yang bekerja sebagai pemandu syarikat iaitu Ah Meng dan Bakri.

Dalam satu tugasan, mereka dikehendaki untuk menghantar mayat datuk majikan mereka ke kampung halaman untuk dikebumikan.

Tiga cerita seram serta pelbagai kejadian cemas dan lucu berlaku sepanjang perjalanan mereka melatari filem yang menelan kos sebanyak RM1.2 juta ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan