'Aku Tak Bodoh' Bukan Filem Bodoh

Diterbitkan: Isnin, 6 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Gandingan dua pelakon muda Aizat Hassan (kiri) dan Aeril Zafrel dalam filem Aku Tak Bodoh.
Gandingan dua pelakon muda Aizat Hassan (kiri) dan Aeril Zafrel dalam filem Aku Tak Bodoh.

HARUS diakui, keaslian bukanlah cagaran pada plot filem berjalur komedi keluarga ini. Bagi yang mengenali filem dari Singapura, I Not Stupid Too (2006) arahan Jack Neo, imbasan filem Mandarin itu tebal menyaluti versi adaptasi, Aku Tak Bodoh (ATB) ini.

Namun, dalam konteks penceritaan dan moral, penghasilan ATB sebenarnya mampu berdiri dengan sendirinya sebagai satu persembahan hiburan yang sarat dengan mesej.

Dasar filem ini ringkas dan mudah iaitu merungkai dilema yang dihadapi oleh sebuah institusi keluarga - ibu bapa yang mementingkan diri dan kerjaya serta kecelaruan si anak yang mencari medium luar bagi meleraikan tekanan kerana terasa diabaikan.

Plot ATB tidak dibina atas skala yang ekstravaganza tetapi cukup kukuh dalam memaparkan realiti kebanyakan keluarga (jika tidak semua) tidak kira di mana sekalipun kita berada.

Mengulas tentang aspek lakonan, persembahan yang dipaparkan oleh para pelakon ATB rata-ratanya menghiburkan dan berkesan. Cuma, yang paling memikat adalah gaya dan aksi tiga pelakon muda yang menerajui plot filem ini.

Potensi pelakon cilik Wan Nor Aizat atau Ijat (sebagai Jefri) menyerlah menerusi adunan mimik muka dan lontaran dialog yang comel, bersahaja dan naif.

Tambah menarik, keserasian dua pelakon remaja Aeril Zafrel (Sudin) dan Aizat Hassan (Roy) dalam mencorakkan perjalanan ATB bergerak seiring secara semulajadi dan kemas.

Bukan kerana ketiga-tiga pelakon muda ini berhempas-pulas mencuri tumpuan tetapi penterjemahan yang asli dan bersahaja itulah yang mencorak momentum filem ini.

Bagi memperkasakan lagi plot, ATB diperkuat pula dengan kemunculan dua pelakon berkarisma iaitu Namron (ayah Sudin) dan Adibah Nor (Mak Jah).

Karisma Namron memang tidak perlu dibahaskan. Wataknya kecil tetapi penggiat teater ini bersahaja dalam mencerminkan karakter seorang bapa yang pendengus dan penuh dendam dengan berkesan.

Begitu juga Adibah yang membawakan wataknya dengan bersahaja dan menyentuh hati, biarpun hadir dalam kurang daripada 10 babak.

Pun begitu, gandingan Amy Mastura dan Riezman Khuzaimi sebagai ibu bapa Roy dan Jefri dirasakan tidak memberikan impak ekstra melainkan sekadar melengkapi kuota perwatakan.

Agak mengecewakan juga apabila kemunculan semula Amy Mastura ke layar perak selepas kali terakhir menerajui Bintang Hati (2004), tidak menjanjikan impak yang mampu dikenang. Apatah lagi beliau pernah memenangi anugerah pelakon harapan suatu ketika dahulu.

Biar ada yang berpendapat, kecelaan ATB berpunca daripada ketiadaan identiti tempatannya, namun jika dilihat secara kolektif kenyataan itu sebenarnya tidak dirasai sepanjang menonton filem ini dek pengisian yang baik.

Secara fitrahnya, kunjungan penonton ke pawagam adalah untuk menikmati nilai hiburan, selain mesej sampingan yang diselitkan dalam sesebuah filem.

Justeru, sebagai sebuah filem, aspek itu lengkap disajikan dalam ATB. Di sebalik ungkapan dialog dan paparan visual komedi yang mewarnai filem ini, ATB sebenarnya adalah medium hiburan yang memberikan peringatan baik kepada ibu bapa mahupun anak-anak akan tanggungjawab dan peranan masing-masing dalam mengemudi sebuah institusi keluarga.

Filem arahan pengarah dari Singapura, Boris Boo ini diterbitkan hasil usahasama Primeworks Studios, J Team dan AMC Sdn Bhd. Filem ATB berada di pawagam sejak 2 Disember lalu.

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan