"Cuti-Cuti Cinta" Yang Hambar

Diterbitkan: Khamis, 21 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Gandingan Farid Kamil dan Nora Danish dalam Cuti-cuti Cinta memikat tetapi mudah dilupakan.
Gandingan Farid Kamil dan Nora Danish dalam Cuti-cuti Cinta memikat tetapi mudah dilupakan.

PENGARAH prolifik Ahmad Idham kembali lagi untuk ke sekian kalinya. Selepas berjaya menghimpunkan rekod kutipan pecah panggung menerusi filem Adnan Semp-it, Niyang Rapik, Semerah Cinta Stileto dan Jangan Pandang Belakang Congkak 2, pertaruhan terbaru Idham adalah menerusi jalur komedi romantik iaitu Cuti-cuti Cinta (CCC).

Masih tidak berganjak daripada zon selesanya, Idham meneruskan kemaraan dalam kalendar filem Malaysia tahun ini dengan sebuah lagi filem ringan yang diyakini masih mampu memikat penonton, meskipun ia lebih hambar kali ini.

Merungkai tentang sisi lakonan, subjek naskhah itu sendiri sebenarnya tidak menuntut penjiwaan yang berat daripada para pelakonnya.

Gandingan Farid Kamil (Omar Rudy) dan Nora Danish (Eeva Elyana) pada dasarnya bukanlah satu kolaborasi yang akan terus dikenang.

Farid yang diperakui menerusi lakonannya dalam beberapa naskhah yang lebih baik sebelum ini hanya menyampaikan mutu lakonan yang mungkin suku atau separuh daripada kemampuan sebenarnya.

Bukan Farid atau Idham ingin dipersalahkan tetapi naskhah yang terlalu ringan dan longgar seperti CCC tidak menuntut pendukungnya untuk memberi lebih daripada itu.

Cukup dengan gaya lakonan serta lontaran kata yang bersahaja, kredibiliti Farid tidak disangkal. Cuma, rasanya sebagai jenama yang semakin kukuh, Farid tidak perlu lagi membuang masa dengan komitmen sebegini untuk mendekati peminat.

Berbeza pula bagi aktres yang sinonim dengan drama bersiri popular Puteri ini. Seperti yang diketahui umum, Nora mencongak nasib ke dunia lakonan berbekalkan pakej wajah yang comel dan ayu dengan mutu lakonan yang sederhana.

Kini selepas membintangi CCC, potensi yang samar-samar itu terus membelenggu Nora kerana penterjemahan ibu muda ini masih tidak berganjak daripada apa yang sudah kerap dihidangkan kepada penonton menerusi pelbagai judul drama televisyen sebelum ini.

Namun, Nora sebenarnya bernasib baik kerana pakej fizikal yang dimiliki itu memihak kepadanya hingga diangkat sebagai bintang utama, biarpun gaya lakonan yang keanak-anakan itu semakin klise di mata.

Apa pun, gandingan Farid dan Nora tetap menghiburkan dan keserasian mereka menerusi pada kebanyakan babak yang memaparkan perbalahan dan kemesraan yang mula terbina di penghujung cerita mampu mengukir senyuman terutamanya buat pasangan kekasih atau suami isteri yang menonton.

Selain Farid dan Nora, rasanya usahlah kita sentuh pendukung-pendukung watak yang lain kerana kehadiran mereka sebenarnya tidak menjadikan persembahan filem ini bertambah baik.

Kumpulan The Fabulous Cats menerusi Cat, Wangi, Zizie dan Adeep umpamanya, gagal menyerlahkan peluang beraksi di layar perak ini sebagai satu kenangan indah buat peminat mereka.

Melainkan Cat yang ternyata lebih berpengalaman dan sedikit sebanyak menceriakan perjalanan CCC menerusi watak lelaki lembut iaitu Encik Mahmood, tiga lagi ahli kumpulan itu dilihat kurang berkesan dan sekadar melengkapkan korum.

Selepas menonton CCC, terdetik persoalan jika plot filem ini adalah punca kepada ‘kerapuhan’ dan kehambaran pada paparan visualnya, mungkin itu bukan huraian yang bernas kerana kebanyakan filem komedi romantik buatan Hollywood pada hari ini pun kian hilang nilai dan pengisian jalan cerita yang benar-benar istimewa.

Namun, bagaimanakah filem dari luar itu masih mampu dimanipulasi dengan garapan dan paparan yang menarik serta berkesan berbanding dengan majoriti filem komedi romantik kita?

Jika ukuran bajet dijadikan isu, faktor itu bukan satu jawapan yang relevan buat penggiat kita kerana pembikin filem tempatan sebenarnya cukup kreatif dan cekap mengatasi kekangan itu sejak dulu lagi sehingga berjaya menghasilkan banyak juga judul cereka yang mampu dikenang dan tidak lapuk.

Bagaimanapun, trend pembikinan filem ringan dewasa ini termasuklah CCC lantas mengundang keraguan adakah pembikin kita termasuk Idham sendiri benar-benar komited dalam mencurahkan tenaga, idea dan prinsip seni itu untuk membikin filem sebegini atau sekadar melepaskan batuk di tangga?

Maklumlah, mungkin kejayaan yang dekat dengan kita sudah membuatkan kita terlalu selesa dan yakin apa jua bentuk filem yang dihidangkan, pasti orang akan bertandang ke panggung dan potensi kutipan pecah panggung itu setia menanti.

Ambil saja pendekatan selamat tanpa risiko yang tinggi tetapi berhasil menjadi sebuah filem yang ringkas dan menghiburkan. Aspek kualiti dan impak filem itu, kuis ke tepi saja.

Jika itu yang tersemat dan terus dipegang oleh karyawan kita, memang sampai bila-bila pun filem-filem ringan kita akan terus terhasil dalam bentuk itu juga.

Filem ke-17 arahan Ahmad Idham ini berkisar kepada pertemuan Eeva Elyana dan Omar Rudy di sebuah pusat peranginan yang bermula secara tidak baik. Berlainan latar belakang, Eeva adalah seorang wanita yang sombong dan cerewet kerana kemewahan dan status yang dimilikinya manakala Omar pula hanyalah jejaka biasa yang bekerja di pusat peranginan itu.

Satu insiden yang memaksa mereka bermalam di sebuah pulau telah merubah segala-galanya. Kematangan Omar dalam mengatasi kecelaruan dan sikap buruk Eeva telah memikat hati wanita itu tanpa disedarinya.

Namun, sejauh manakah perasaan yang berputik di hati itu mampu membibitkan cinta di hati mereka kerana Eeva sudah pun bertunang dengan Remy. Kesudahannya akan terjawab dalam CCC.

Filem Cuti-cuti Cinta ditayangkan di pawagam bermula 21 Oktober 2010.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan