"Magika" Bukan Filem "Gebang Kosong"

Diterbitkan: Khamis, 23 September 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Para pelakon dan pengarah filem Magika, Edry Abdul Halim (empat dari kanan) di majlis gala filem itu di Cathay Cineplex e@Curve, Mutiara Damansara, Selasa. - Foto The Star oleh SHAARI CHE MAT
Para pelakon dan pengarah filem Magika, Edry Abdul Halim (empat dari kanan) di majlis gala filem itu di Cathay Cineplex e@Curve, Mutiara Damansara, Selasa. - Foto The Star oleh SHAARI CHE MAT

DUNIA fantasi berwarna-warni yang disulami lagu-lagu menghiburkan dalam Magika adalah satu paparan segar dalam konteks filem Melayu. Hampir sempurna sifatnya, filem sulung arahan karyawan muzik Edry Abdul Halim ternyata satu percaturan yang memberangsangkan.

Percaya atau tidak, paparan yang mengasyikkan menerusi dialog yang ringkas, lakonan meyakinkan serta lagu-lagu yang bersesuaian pasti menjanjikan satu pengalaman baru buat penggemar filem Melayu.

Jangan dibandingkan dengan filem Hollywood seperti High School Musical, Moulin Rouge atau Mamma Mia. Percubaan KRU Studios menerusi Magika adalah karya yang yang tersendiri.

Mengupas soal lakonan, persembahan bintang utama Diana Danielle yang menggalas watak Ayu dalam filem ini kurang memukau. Sayang, Diana sekadar menterjemahkan watak yang sepatutnya berkarakter 'besar' itu pada skala sederhana saja.

Namun, dek kejelitaan gadis berusia 19 tahun ini, rasanya penonton pasti terbuai dengan gerak-geri tubuh dan bicara yang diungkapkan oleh Diana.

Malah, pertaruhan ke atas Diana selaku faktor tarikan Magika adalah perjudian yang bijak. Pesonanya adalah nadi dan umpan terbaik buat para pemuja gadis berdarah kacukan ini.

Sementara itu, pelakon cilik Fimie Don dilihat lebih meyakinkan sebagai adik Ayu iaitu Malik. Faktor bakat dan pengalaman Fimie beraksi di depan kamera menjadikan Fimie tampil bersahaja.

Tanpa perlu bekerja keras atau berusaha keterlaluan, Fimie dan Malik bagaikan adunan yang sebati. Jika diamati bahasa tubuh, lontaran dialog dan mimik muka Fimie, mungkin tidak keterlaluan melabelkannya sebagai sesuatu yang mengasyikkan.

Berpasangan di samping Ayu, penyanyi yang kini bergelar pengarah iaitu Mawi dilihat lebih meyakinkan dalam terjemahannya sebagai Badang. Walaupun tidak begitu berbekas, setidak-tidaknya aksi Mawi jauh lebih baik kali ini berbanding dalam Jin Notti (2009).

Sedikit ralat, rambut palsu yang dikenakan pada kepala Mawi seakan menganggu pandangan kerana ia tidak nampak realistik.

Penampilan khas barisan artis popular tanah air termasuklah Maya Karin, Ning Baizura, Ziana Zain, M. Nasir, Fauziah Ahmad Daud, Saiful Apek, Senario, Norman Hakim, Vanidah Imran, Aznil Hj Nawawi dan ramai lagi adalah satu strategi bijak yang mampu mengumpan penonton.

Kemunculan mereka bukan sahaja memeriahkan perjalanan filem ini, malah mewarnai Magika yang kaya dengan pelbagai sub-plot dan karakter ini.

Seperkara lagi, pemilihan latar lokasi yang diadun dengan teknik janaan imej berkomputer (CGI) dalam filem KRU Studios kali ini lebih meyakinkan. Saduran CGI pada kebanyakan babak dibikin secara lebih halus dan kemas berbanding filem Cicak-man 1 dan 2 sebelum ini.

Meskipun CGI pada tiga babak iaitu babak nyanyian yang melibatkan watak Bunian (Maya Karin) mengalunkan lagu Gebang di permulaan filem, paparan imej istana tempat bersemayam Puteri Gunung Ledang (Ning Baizura) dan babak di mana Ayu, Badang dan Malik merentasi jambatan apabila dikejar oleh Naga Tasik Chini (M. Nasir) dilihat kurang halus dan rapi.

Jika diteliti pada babak Bunian itu umpamanya, anda akan dapat melihat dalam berpuluh-puluh jelmaan Bunian itu ada di antaranya bukanlah wajah Maya Karin, sebaliknya wajah pelakon tambahan.

Perkara itu memang tidak signifikan dan sama sekali tidak menjejaskan perjalanan filem ini, namun sekadar mengamati, mungkin KRU boleh lebih teliti dalam filem-filem akan datang.

Pasti filem ini akan jadi lebih lengkap sekiranya CGI untuk babak-babak itu diperkemaskan lagi.

Namun, menyedari kos CGI yang tinggi serta kekangan bajet yang didepani oleh penerbit, usaha mereka pada aspek kesan khas Magika tetap membanggakan.

Langkah KRU Studios mengetengahkan Edry sebagai pengarah filem dan muzik dalam naskhah ini layak dipuji. Sebagai orang baru dalam dunia pengarahan filem, sentuhan Edry memang meyakinkan.

Apabila menyentuh soal muzik dan lagu, sememangnya aspek itu tidak perlu dipersoalkan lagi kerana menyedari kredibiliti dan bakat yang dimiliki oleh Edry.

Maka, tidak hairanlah komposisi muzik dan lagu-lagu yang memperkasakan filem ini bukan saja memikat malah berjiwa dan bertenaga.

Umumnya, filem ini mengandungi mesej dan cerita yang baik kerana mengangkat kisah dongeng dan mitos masyarakat Melayu.

Kisah-kisah yang diwarisi dari generasi ke generasi seperti Nenek Kebayan, Mahsuri, Bawang Merah Bawang Putih, Orang Minyak dan Pak Pandir umpamanya dimanipulasi dengan baik dalam bentuk yang ringan dan menghiburkan.

Selepas menyaksikan filem ini, harus diakui bahawa apa yang dicanangkan oleh produser Norman Abdul Halim mengenai keistimewaan filem ini bukan hanya 'gebang kosong'.

Apalah ertinya sesebuah filem jika tiada cacat celanya. Namun, kekurangan itu bukan kecelaan yang boleh membinasakan naskhah ini. Mungkin filem sebegini masih asing dalam medan filem kita tetapi kombinasi hiburan dan mesej yang seimbang dalam Magika layak dipuji.

Bukan terlalu mengagungkan Magika tetapi berilah peluang kepada filem ini kerana anda akan menikmati hiburan yang lebih segar, istimewa dan tersendiri.

Magika menceritakan tentang kisah dua beradik Ayu dan Malik yang berada dalam kesedihan selepas kematian ibu mereka, Ija (Fauziah Ahmad Daud). Malik berasa lebih tertekan kerana merasakan dialah punca kematian ibunya.

Di satu senja, selepas bertengkar dengan kakaknya, Malik berjalan-jalan di hutan sehingga tersesat ke dalam alam ghaib bernama Magika. Ayu yang terdengar jeritan Malik cuba menyelamatkan adiknya tetapi turut sama terperangkap di dunia itu.

Maka bermulalah kembara dua beradik ini di dunia yang penuh cerita dan keajaiban. Di situ mereka bertemu dengan pelbagai watak mitos dan kepercayaan orang Melayu seperti Badang, Naga Tasik Chini, Nenek Kebayan, Pak Pandir dan banyak lagi.

Filem Magika ditayangkan di pawagam bermula 23 September 2010.

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan