Angelina Jolie Jadi 'Umpan' Dalam "Salt"

Diterbitkan: Khamis, 29 Julai 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Teraju utama, Angelina Jolie pada majlis tayangan perdana filem Salt di pawagam Grauman's Chinese di Hollywood, California pada 19 Julai lalu. - Foto AP
Teraju utama, Angelina Jolie pada majlis tayangan perdana filem Salt di pawagam Grauman's Chinese di Hollywood, California pada 19 Julai lalu. - Foto AP

AKTRES sensasi Hollywood yang cukup sinonim dengan aksi ngeri iaitu Angelina Jolie kembali ke layar perak dengan filem perisikan terbaru, Salt.

Mendengarkan sahaja nama aktres berbakat besar itu, sudah tentu aksi dan kelincahannya dinanti-nantikan peminat selepas kali terakhir muncul dengan filem aksi, Wanted, dua tahun lalu.

Sayangnya, bukan hanya plot filem itu lemah dan tidak meyakinkan, malah garapan pengarah Philip Noyce juga meragukan. Kesemua pelakon termasuklah Jolie sendiri sekadar mempersembahkan mutu lakonan yang sederhana.

Naskhah Salt yang umpama "indah khabar dari rupa" itu dirasakan tidak berkesan bagi perkembangan profil lakonan Jolie. Hanya glamor pada nama tetapi kualitinya tidak sehebat yang dicanangkan.

Walaupun secara visualnya, taktik produksi yang mempertaruhkan Jolie sebagai 'umpan' dalam filem aksi begini boleh menarik penonton tetapi penceritaan Salt yang pincang itu hanya layak disifatkan sebagai filem aksi yang 'menyedihkan'.

Ringkasnya, filem ini mengisahkan tentang seorang pegawai CIA, Evelyn Salt (Jolie) yang telah mengangkat sumpah untuk mendambakan dirinya demi tugas, maruah dan negara. Bagaimanapun, kesetiaannya tiba-tiba diuji apabila seorang pembelot muncul dan mendakwa Salt sebenarnya adalah ejen perisikan Rusia.

Kaget dengan tuduhan itu, Salt melarikan diri demi untuk menyelamatkan suaminya dan cuba membuktikan dirinya tidak bersalah. Selain Jolie, filem arahan Philip Noyce ini turut dibintangi oleh Liev Schreiber, Chiwetel Ejiofor, Daniel Olbrychski dan Andre Braugher.

Menilai lakonan Jolie, mungkin ada baiknya kekasih kepada aktor Brad Pitt itu memkberi fokus kepada watak-watak untuk filem berat atau drama saja di hari mendatang.

Jolie sekali lagi menghampakan selepas Wanted dan aksinya juga makin tumpul dan kurang relevan untuk filem bergenre aksi. Daripada pengamatan penulis, lakonan Jolie tidak berkembang daripada persembahannya dalam filem-filem aksi sebelum ini seperti francais Tomb Raider (2001, 2003), Mr & Mrs. Smith (2005) dan Wanted (2008).

Bisanya untuk filem aksi bagaikan sudah hilang, malah mula menimbulkan kebosanan pula. Tiada apa yang baru atau ekstravaganza melainkan bibir seksi, mimik muka dan gestur signaturnya serta ketangkasan bertarung yang rasanya semua pun boleh bayangkan.

Malah, untuk kali ini ibu kepada enam anak ini dilihat kurang bertenaga dan tidak semantap aksi-aksi sebelum ini. Mungkin juga kerana Jolie menerima tawaran itu sebaik sahaja selesai tempoh berpantang, maka apa yang dilakukannya dalam Salt itu tetap wajar dipuji.

Bagaimanapun, mendengarkan kenyataan pihak penerbitan yang membangunkan filem ini sebagai jenama perisik ala Bond wanita, sudah tentu kita mengharapkan plot Salt akan menjadi segah dan seteliti francais filem ejen perisik British itu juga.

Malangnya, ia tidak berlaku dalam Salt. Plotnya ringkas, kurang teliti, klise serta tiada isu atau subjek besar yang dikupas, sekaligus menjadikan filem ini agak 'dengkel' dan pincang. 'Jauh' sekali untuk menghampiri francais Bond, malah belum tentu dapat menyamai francais filem Bourne (lakonan Matt Damon) itu.

Hanya dengan aksi ngeri, pergaduhan dan kejar-mengejar yang tipikal, hiburan filem ini hanya terletak pada kelibat Jolie di skrin. Selain itu, Salt tidak ubah seperti filem aksi bergred C.

Bagi yang meminati Jolie, pasti anda tidak mahu melepaskan lakonan terbarunya ini tetapi jika anda mengharapkan sebuah hiburan aksi dengan pengisian yang 'kuat', Salt bukanlah pilihan terbaik.

Filem Salt ditayangkan di pawagam bermula 29 Julai 2010.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan