Maaf! "Knight And Day" Tidak Sehebat Seperti Dijangka

Diterbitkan: Jumaat, 25 Jun 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Cameron Diaz dan Tom Cruise bergandingan kembali dalam Knight and Day selepas filem Vanilla Sky (2001).
Cameron Diaz dan Tom Cruise bergandingan kembali dalam Knight and Day selepas filem Vanilla Sky (2001).

EKSPLOITASI dan taktik 'menjual' dua wajah sensasi pelakon Hollywood, Tom Cruise dan Cameron Diaz sebagai tarikan utama dalam filem Knight And Day memang bijak dan layak dipuji kerana ia mampu memancing kaki wayang ke pawagam.

Sementelah, kali terakhir mereka bersatu adalah menerusi filem Vanilla Sky (2001), maka gandingan terbaru ini sudah tentu dinanti-nantikan oleh para peminat mereka.

Hakikatnya, filem ini hanya "indah khabar dari rupa" kerana ia tidak lebih daripada sebuah naskhah komedi aksi yang pincang dan berserabut dengan suntikan unsur hiburan yang kosong.

Apa yang dilihat, adunan komedi dan aksi yang pantas serta dahsyat dalam filem ini tidak 'melekat' dengan kuat antara kedua-duanya. Untuk sebuah filem genre komedi yang kecamuk dengan paparan aksi yang keterlaluan, garapan itu dilihat kurang berkesan dan tidak bersatu dengan baik.

Bahkan, tidak keterlaluan untuk melabel garapan pengarah James Mangold serba tidak kena, sekaligus menjadikan ia sebuah karya yang agak huru-hara secara visual.

Justeru, bagi yang memerhatikan perjalanan cerita ini, pasti akan timbul andaian bahawa kepincangan skrip dan plot filem ini cuba dikaburi dengan memperdagangkan dua bintang besar itu.

Fungsi mereka adalah untuk mengeksploitasi elemen komedi dan aksi agar penonton terbuai dengan paparan pantas dan mengasyikkan yang silih berganti daripada babak ke babak.

Malah, turut diperakui nilai hiburan yang dihidangkan menerusi lontaran dialog dan gerak-geri Diaz yang serba gonjeng dan dangkal sebagai June Haven itu mampu buat penonton ketawa.

Namun, secara keseluruhannya penceritaan filem ini sekadar bergerak pantas menuju ke penghujung tanpa sebarang impak dan makna.

Jika subjek keserasian antara Cruise dan Diaz yang ingin dirungkai, tentu penonton tidak mampu untuk menyangkal pesona kedua-dua bintang ini. Keserasian mereka tersulam rapi dengan hilai tawa dan bahasa tubuh yang saling memahami antara satu sama lain, sekaligus berjaya menutup cela serta kecamukan plot dan penceritaan yang longgar.

Bagaimanapun, jika mutu lakonan mereka dinilai secara individual, persembahan Diaz tidak banyak berbeza daripada mana-mana filem komedi lain yang pernah dibintanginya sebelum ini. Cuma kali ini karakter, aksi huru-hara serta 'kemanisannya' di dalam visual memang mengasyikkan.

Bertentangan pula dengan Cruise yang dilihat kusam dan agak membosankan. Gaya dan lagak Cruise sebagai ejen perisik CIA, Tom Miller langsung tidak segar, malah lakonannya seakan refleksi kepada lakonannya dalam filem-filem seperti francais Mission: Impossible dan Jerry McGuire yang digabungkan secara serentak.

Ada ketikanya, Cruise kelihatan bersahaja dan tepat sepertimana wataknya dalam filem Jerry McGuire, namun apabila melibatkan aksi dan pertarungan, lakonannya tampak goyah dan tidak meyakinkan.

Kekeliruan Cruise dalam menterjemahkan transisi karakter kesatria kepada perisik agak ketara dan kurang berkesan.

Jika peminat dua pelakon besar ini berhasrat untuk menonton aksi berbeza daripada mereka kali ini, mungkin hasrat itu harus dipendamkan sahaja selepas menonton filem ini.

Namun jika anda menonton dengan tujuan untuk berhibur dan menelan apa jua hidangan visual yang dipaparkan, Knight And Day pasti memuaskan hati.

Cukup sekadar untuk bergelak ketawa dan teruja dengan aksi tembak-menembak dan kejar-mengejar, filem ini tidak mungkin menawarkan apa-apa yang lebih daripada itu.

Maka, jika anda menonton dengan hati, mungkin anda akan keluar daripada pawagam dalam kehampaan. Ini kerana untuk filem yang sebegini tuntutannya, memadailah jika menontonnya dengan mata.

Knight And Day menyusuri kembara June Havens (Diaz) yang bertembung secara tidak sengaja dengan seorang perisik CIA bernama Roy Miller (Cruise) di lapangan terbang ketika dia hendak mengambil penerbangan ke majlis perkahwinan adiknya.

Tanpa diduga, pertemuan dengan Miller menyebabkan dirinya turut menjadi mangsa buruan beberapa pihak termasuklah CIA sendiri yang menyangkanya berkomplot dengan Miller untuk melarikan sebiji bateri.

Bermulalah aksi kejar-mengejar dan pemburuan yang membawa pasangan ini ke Banjaran Alps, negara Sepanyol dan beberapa lokasi di Amerika Syarikat.

Siapakah Miller, apakah kepentingan bateri itu sehingga dia dan Havens diburu sebegitu sekali dan bagaimanakah kesudahan episod kejar-mengejar itu? Jawapannya bakal ditemui dalam Knight And Day.

Knight And Day kini ditayangkan di pawagam bermula 24 Jun 2010.

iklan

Video

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Rabu, 13 September 2017 2:00 PM

Saya Tak Jual Rupalah! - Erwin Dawson

Rabu, 13 September 2017 9:00 AM

EKSKLUSIF! Kisah Elizabeth Tan Nak Bunuh Diri

Kolumnis

iklan

Iklan