Simboliknya 'Belukar'

Diterbitkan: Khamis, 6 Mei 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Poster filem Belukar yang akan menimbulkan teka-teki kepada penonton tentang genre filem ini.
Poster filem Belukar yang akan menimbulkan teka-teki kepada penonton tentang genre filem ini.

JIKA poster filem Belukar dijadikan ukuran, tentu ramai di luar sana yang menyangka sentuhan sulung pengarah baru Jason Chong ini sebuah karya seram mahupun mistikal. Realitinya, Belukar adalah naskhah yang mengeksploitasi genre drama dengan salutan elemen ngeri atau thriller.

Sebagai orang baru dalam dunia filem komersial, hidangan Jason menerusi Belukar sememangnya layak dipuji.

Bukan menyanjung buta, namun pengarah juga penulis skrip berbangsa Cina ini berjaya menghasilkan sebuah filem ala penyiasatan yang menghiburkan dan segar, sekurang-kurangnya segar dalam konteks filem Melayu.

Istimewanya Belukar bukan sahaja menjadi medan eksperimen buat pengkarya dan produksi baru seperti Jason dan Preston Zaidan Productions, malah turut menjadi titik-tolak kepada perkembangan karier lakonan aktor Bront Palarae yang pertama kali diangkat sebagai hero.

Sebagai teraju utama, Bront yang memainkan watak Nick dilihat berjaya menterjemah karakter penyiasat insuran itu dengan baik.

Walaupun Nick dihidu sedikit berganjak dari titik fokus asal wataknya (daripada serius dan seksi kepada 'sengal' dan lucu) di pertengahan cerita, secara keseluruhan Bront mencerna watak Nick dengan baik.

Paling penting, Bront kelihatan seksi dan bersahaja. Mungkin ada yang melihat bayangan lakonan George Clooney dalam Ocean 11 pada watak Nick, namun ia berganjak di pertengahan cerita kepada olahan watak persis Owen Wilson yang lebih sinonim dengan karakter dan bahasa tubuh yang lucu dan 'sengal'. Bront berjaya mengadunkan kedua-dua gaya hero ini menjadi Nick yang berkesan.

Daphne Iking sebagai pasangannya yang mendukung watak Eva juga tidak mengecewakan. 'Sisi gelap' Eva yang punya dendam dan objektif tertentu juga diterjemah dengan baik oleh Daphne. Malah, Daphne agak menggiurkan dengan lirikan mata dan hayunan langkah si penggoda.

Apa yang paling menarik, keserasian Bront dan Daphne terjalin dengan baik sepanjang perjalanan Belukar. Kedua-duanya tampak sesuai bergandingan walaupun ini hanyalah gandingan sulung mereka.

Sedikit mengecewakan, watak-watak lain dilihat sekadar melengkapkan naratif Belukar, tidak terlalu cemerlang tapi tidak menghampakan.

TKO lakonan Chew Kin Wah umpamanya, tidak banyak berbeza daripada penterjemahannya untuk watak Lim Piranha dalam Setem. Masih lagi berkisar kepada watak ketua kongsi gelap yang tiada jalur warna yang baru.

Aspek yang paling klise dan agak 'meruntun jiwa' tentang filem ini adalah menyaksikan lagak dan aksi 'penyangak-penyangak murahan' seperti Momok (Ray Redzuan), Gincu (Linora Low), Gong (Xavier Fong) dan bodyguard TKO (Yazer AF) yang dirasakan saling tidak tumpah seperti watak-watak bajingan filem Melayu di era 90-an.

Ia tidaklah sampai mencemarkan filem kerana watak-watak itu adalah tuntutannya, namun jika Jason lebih kreatif dalam menterjemah watak si jahat, tentu kita dapat menonton aksi si jahat yang keluar daripada kepompong lazim.

Bagaimanapun, pujian harus dilayangkan kepada dua watak sahabat Eva dan Nick, iaitu Hitam (Eyzendy Aziz) dan Pitt (Azwan Kombos) yang cukup bersahaja dan memberi impak kepada penceritaan Belukar. Mereka kurang berdialog namun ekspresi wajah dan pergerakan tubuh mereka menarik dan berkesan.

Umumnya, perjalanan Belukar mungkin agak lembap di kebanyakan babak, namun kekurangan itu disalut dengan baik oleh skor muzik yang bertenaga dan rancak.

Justeru, paparan visual yang bosan itu diadun dengan muzik latar yang banyak menyelamatkan keadaan. Seharusnya, kolaborasi Bakri Ismail dan Esham Shahlin sebagai jentera muzik patut dipuji atas kerja kreatif itu.

Secara keseluruhan, Belukar menawarkan sebuah pakej hibuan yang segar dalam dimensi perfileman Melayu. Sudah tentu celanya masih jelas di sana dan sini, namun sekurang-kurangnya, ia bukan kecelaan yang menjengkelkan atau mencacatkan filem ini.

Belukar, sebuah wadah kreatif daripada orang baru yang patut disokong dan diberi peluang oleh penonton filem Melayu.

Anda akan tertawan dengan babak imbas semula yang menghuraikan segala teka-teki dan kupasan simbolik judul Belukar yang turut dijelaskan di pengakhiran cerita.

Buat penonton yang 'nakal', mungkin aksi romantis dan intim antara Nick dan Eva adalah hidangan yang mampu menghiburkan pancaindera anda.

Belukar ditayangkan di pawagam bermula 6 Mei 2010.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan