Giliran Taecyon (2PM) Sertai Latihan Ketenteraan

Diterbitkan: Selasa, 20 Jun 2017 5:29 AM

Taecyon terpaksa melupakan bidang seni selama dua tahun apabila dia bakal menjalani latihan wajib ketenteraan tidak lama lagi.

(Ubah saiz teks)

UMUM mengetahui kumpulan 2PM baharu sahaja selesai menjayakan konsert jelajah mereka namun salah seorang anggotanya, Taecyeon dikehendaki melaporkan diri bagi menjalani latihan wajib ketenteraan.

Berita tersebut menjadikan dia anggota pertama artis bawah label JYP Entertainment itu yang perlu menyertai latihan ketenteraan.

Menerusi sebuah wawancara, Taecyeon memberitahu dia sepatutnya melaporkan diri bersama salah seorang lagi ahli 2PM iaitu Jun K namun kecederaan dialami rakan baiknya itu menyebabkan dia terpaksa menangguhkan latihannya.

"Sedih juga tidak dapat bersama-sama dengan Jun K kerana dia adalah rakan baik saya namun dia perlu berehat dan pulih daripada kecederaan dialami," katanya seperti dilaporkan Soompi.

Taecyon (kanan) bersama Jun K sepatutnya akan sama-sama ke latihan tersebut.

Kecederaan dialami Jun K itu akibat terjatuh daripada pentas setinggi tiga meter ketika 2PM mengadakan konsert 6 Night di SK Olympic Handball Gymnasium Seoul, pada 26 Februari lalu.

Ketika kejadian, pentas bergerak itu secara tiba-tiba terbuka dan Jun K yang berada di atasnya terjatuh sebelum dikejarkan ke hospital.

Dalam pada itu, Taecyeon mengakui sedih kerana tidak dapat bertemu dengan rakan-rakannya dalam 2PM dan peminat untuk tempoh yang lama apabila berada di kem tentera.

"Bila kita berenam dapat menyanyi bersama lagi?," kata jejaka yang dibesarkan di Boston, Amerika Syarikat itu.

Sejak akhir-akhir ini ramai selebriti di Korea Selatan dipanggil untuk menjalani latihan ketenteraan selama dua tahun.

Tags / Kata Kunci: Taecyon

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan