Adele Sapu Bersih 5 Trofi Anugerah Grammy Ke-59

Diterbitkan: Isnin, 13 Februari 2017 2:48 PM

Adele membawa pulang lima trofi pada malam Anugerah Grammy Ke-59. Foto AFP

(Ubah saiz teks)

LOS ANGELES: Penyanyi wanita terkenal, Adele menyapu bersih kesemua lima kategori yang diterimanya termasuk Album Terbaik bagi album solo ketiganya, 25 pada Anugerah Grammy ke-59 yang berlangsung di Staples Centre, di sini malam Ahad (waktu tempatan).

Kemenangan Adele dalam kategori utama penganjuran anugerah muzik terbesar Amerika Syarikat itu adalah yang kedua selepas lima tahun memenanginya menerusi album keduanya, 21 pada tahun 2012.

Selain Album Terbaik, penghibur berbakat besar itu turut memenangi dua lagi kategori utama iaitu Rekod dan Lagu Terbaik untuk lagu popularnya, Hello dengan menewaskan saingan terdekatnya, Beyonce Knowles yang tercalon bagi lagu Formation.

Beyonce yang kini sedang hamil anak kembar menang dua trofi.

Bukan itu sahaja, kehebatan Adele menyampaikan lagu berhantunya itu turut menghadiahkan beliau dengan trofi Persembahan Pop Solo Terbaik yang juga merupakan kemenangan ketiganya dalam kategori itu selepas Someone Like You (2012) dan Set Fire To The Rain (2013).

Album 25 yang telah mencatatkan penjualan melebihi 20 juta salinan di seluruh dunia itu turut diiktiraf dengan trofi Album Pop Vokal Terbaik dengan menewaskan penyanyi popular lain iaitu Justin Bieber, Ariana Grande, Demi Lovato dan Sia.

Dalam ucapannya selepas namanya diumumkan sebagai pemenang Album Terbaik, Adele yang dilihat tidak dapat menahan dirinya daripada menangis memberitahu kemenangannya itu adalah sesuatu di luar jangkaan.

Ujar penghibur berusia 28 tahun itu lagi, pada ketika pembikinan album 25, Adele mengakui cabaran dan dugaan yang dilaluinya cukup besar lebih-lebih lagi apabila dia sendiri perlu bergelut dengan status dirinya sebagai seorang ibu.

Adele sebak ketika menerima trofi Album Terbaik.

Dalam masa yang sama, Adele yang juga bekas pemenang Oscar itu turut memuji Beyonce apabila menyifatkan album Lemonade sebagai karya hebat dan luar biasa yang menampilkan sisi berbeza Beyonce sebagai seorang karyawan seni sehingga penyanyi itu mengalirkan air mata.

Dengan lima kemenangannya pada malam bersejarah itu, bilangan trofi Grammy milik penyanyi lagu Skyfall itu juga kini telah bertambah menjadi 15 daripada 18 pencalonan yang diterimanya sejak tahun 2009.

Biarpun sedari awal, nama Beyonce disebut-sebut akan mendominasi acara anugerah kali ini selepas menerima pencalonan terbanyak menerusi sembilan kategori, namun, penyanyi yang kini sedang hamil anak kembar itu akur dengan keputusan kali ini apabila hanya menerima dua trofi sahaja.

Isteri penyanyi rap terkenal, Jay Z itu diiktiraf dengan Album R&B Kontemporari Terbaik menerusi album Lemonade manakala lagu Formation pula menerima trofi Muzik Video Terbaik.

Adele turut membuat persembahan istimewa bagi memperingati mendiang George Michael.

Sementara itu, penyanyi legenda, mendiang David Bowie pula masih menjadi perhatian pihak juri dengan memberikan pengiktirafan kepada beliau menerusi empat kategori apabila album terakhirnya, Blackstar memenangi Album Muzik Alternatif Terbaik dan Kejuruteraan Album Terbaik (Bukan Klasikal).

Malah, persembahannya menerusi salah sebuah lagu dalam album berkenaan, Blackstar turut menghadiahkan Bowie dengan Lagu Rock dan Persembahan Rock Terbaik.

Penyanyi rap baharu yang semakin meningkat naik, Chance The Rapper turut mencuri perhatian kali ini apabila memenangi tiga kategori termasuk Artis Baharu Terbaik, Persembahan Rap Terbaik bersama Lil Wayne dan 2 Chainz bagi lagu No Problem serta Album Rap Terbaik (Coloring Book).

Penganjuran anugerah itu turut diserikan dengan persembahan hebat oleh barisan artis ternama termasuk Adele, Beyonce, Bruno Mars, Carrie Underwood, Keith Urban, Ed Sheeran, The Weeknd, Daft Punk, Alicia Keys dan Maren Morris.

Acara yang dihoskan oleh pelawak dan pelakon terkenal, James Corden itu turut menampilkan gandingan Demi Lovato, Andra Day, Little Big Town dan Tori Kelly yang memberi penghormatan kepada kumpulan legenda, The Bee Gees dengan menyampaikan untaian lagu-lagu malar segar mereka.

SEBAHAGIAN DARIPADA SENARAI PEMENANG ANUGERAH GRAMMY KE-59;

Album Terbaik: 25 – Adele

Rekod Terbaik: Hello – Adele

Lagu Terbaik: Hello – Adele

Artis Baharu Terbaik: Chance The Rapper

Persembahan Pop Solo Terbaik: Hello – Adele

Persembahan Pop Duo/Berkumpulan Terbaik: Stressed Out – Twenty One Pilots

Album Pop Vokal Terbaik: 25 – Adele

Rakaman Dance Terbaik: Don’t Let Me Down – The Chainsmokers & Daya

Persembahan R&B Terbaik: Cranes In The Sky – Solange

Album Kontemporari R&B Terbaik: Lemonade – Beyonce

Persembahan Rap/Nyanyian Terbaik: Hotline Bling – Drake

Lagu Rap Terbaik: Hotline Bling – Drake

Persembahan Country Solo Terbaik : My Church – Maren Morris

Persembahan Country Duo/Berkumpulan Terbaik: Jolene – Pentatonix & Dolly Parton

Lagu Country Terbaik: Humble and Kind – Tim McGraw

Album Country Terbaik: A Sailor’s Guide To Earth – Sturgill Simpson

Album Teater Muzikal Terbaik: The Color Purple

Album Runut Bunyi Skor Visual Media Terbaik: Star Wars: The Force Awakens – John Williams

Lagu Visual Media Terbaik: Can’t Stop The Feeling! – Justin Timberlake

Tags / Kata Kunci: Anugerah Grammy Ke-59 , Adele , Beyonce

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan