Terminator Genisys Catat Kutipan Besar Di China

Diterbitkan: Selasa, 1 September 2015 6:42 PM

(Ubah saiz teks)

FILEM kelima francais Terminator - Terminator Genisys - mendapat sambutan hangat sepanjang tempoh lapan hari tayangan di China dengan mengungguli kutipan box office sebanyak  AS$82.8 juta.

Kutipan itu boleh dianggap jauh lebih berjaya daripada kutipan sepanjang sembilan minggu di Amerika Utara yang mencecah AS$89.4 juta.

Keseluruhannya di serata dunia, Terminator Genisys telah pun membawa balik modal dengan mengutip AS$409,483,147. Ia dihasilkan dengan baget sebanyak AS$155 juta.

Diterbitkan oleh Paramount Pictures dan Skydance Productions, filem tersebut diedarkan di China oleh China Film Group dan Huaxia Distribution.

Pelakon utamanya, Arnold Schwarzenegger turut hadir ketika majlis pelancaran filem tersebut di Shanghai.

Kehadiran Schwarzenegger, 68, membantu melariskan filem tersebut di China yang juga merupakan pasaran filem yang kedua terbesar di dunia selepas Amerika Utara.

Salah satu lagi sebab mengapa Terminator Genisys mendapat sambutan hangat di China adalah kerana ia menjadi filem asing yang pertama yang ditayangkan selepas pihak berkuasa filem negara itu mengharamkan kemasukan filem asing bagi memberi ruang kepada filem-filem tempatan menguasai panggung sepanjang musim panas lalu.

Terminator Genisys kini mempunyai seminggu lagi untuk terus mengutip jualan di China, sebelum Mission: Impossible – Rogue Nation memasuki panggung pada 8 September diikuti oleh Minions pada 13 September dan selepas itu Pixels pada 15 September.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan