Komposer Lagu Titanic, Avatar & The Amazing Spider-Man James Horner Terbunuh Dalam Nahas Pesawat

Diterbitkan: Selasa, 23 Jun 2015 3:25 PM

Mendiang James Horner bersama dua Anugerah Oskar yang pernah dimenangi untuk filem Titanic.

(Ubah saiz teks)

PENULIS dan pengubah lagu popular untuk filem-filem pecah panggung Hollywood termasuk lagu tema filem Titanic "My Heart Will Go On", James Horner terbunuh dalam satu nahas pesawat ringan yang dipandunya sendiri di California Selatan pada Isnin.

Penerima Anugerah Oscar itu berusia 61 tahun.

Pesawat ringan yang dipandunya itu terhempas pada jam 9.30 pagi Isnin waktu Amerika Barat di Los Padres National Forest, kata jurucakap bomba, Mike Lindbery.

Kematiannya telah mengejutkan ramai pengiat industri filem yang menghantar reaksi dan komen mereka menerusi laman sosial masing-masing.

Pada masa yang sama, pembantu peribadi Horner, Sylvia Patrycja, mengesahkan mengenai tragedi tersebut serta kematian majikannya itu.

"Ya kita semua telah kehilangan seorang yang sangat luar biasa dengan bakat yang luar biasa," kata Patrycja dalam laman Facebook.

Pesawat yang dinaiki Horner itu menggunakan enjin turbo-prop dengan dua tempat duduk telah ditemui terbakar dan berselerak di kawasan seluas satu ekar.

Peguam Horner, Jay Cooper, telah dipetik sebagai berkata, yang beliau boleh mengesahkan bahawa pesawat yang terhempas itu adalah milik komposer berkenaan.

Sepanjang hayatnya Horner boleh dikatakan telah menulis dan mengubah lagu-lagu tema hampir sebahagian besar filem-filem pecah panggung Hollywood termasuklah menerima dua Anugerah Oskar kerana menulis lagu tema filem Titanic pada 1997 berjudul "My heart Will Go On" yang didendangkan oleh penyanyi kelahiran Kanada, Celine Dion.

Mendiang turut menerima dua Anugerah Grammy dan dua Anugerah Golden Globes untuk filem yang sama.

Horner kerap kali bekerjasama dengan pengarah filem terkenal James Cameron yang turut mengarahkan filem Titanic dan selepas itu menyumbangkan lagu tema untuk dua lagi filem pecah panggung Cameron iaitu Avatar dan Aliens.

Horner dikatakan sedang menyiapkan lagu tema untuk dua sekuel filem Avatar.

Filem terkini yang mendapat sentuhan ajaibnya ialah Southpaw, yang dibintangi oleh Jake Gyllenhall dan Rachel McAdams.

Beliau turut menyumbang lagu untuk filem berjudul The 33, iaitu sebuah cerita mengenai insiden kemalangan di lombong arang batu Chile pada 2010 yang akan mula ditayangkan November nanti.

Lain-lain karya lagu tema yang dihasilkan Horner untuk filem-filem popular dan pecah panggung termasuklah Apollo 13, A Beautiful Mind, Willow dan The Missing - kesemuanya diarahkan oleh seorang lagi sahabat baiknya, Ron Howard.

Horner juga menghasilkan lagu tema untuk filem terbaik Braveheart, Field of Dreams, Glory, An American Tale, Legends of the Fall dan Troy.

Sepanjang kariernya, Horner telah dicalonkan untuk 10 Anugerah Oskar dan memenangi enam Anugerah Grammys daripada 13 pencalonan.

Bagaimanapun, tiada satu pun yang dapat menandingi kehebatan yang dihasilkannya untuk filem Titanic, yang turut menyaksikan soundtrack filem berkenaan terjual di seluruh dunia sehingga 27 juta unit.

Horner, memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang muzik dari University of Southern California yang terkenal itu dan ijazah kedoktoran falsafah dalam bidang yang sama dari University of California at Los Angeles.

Mendiang memang diketahui meminati bidang penerbangan sebagai hobi masa lapangnya dan pada masa yang sama sedang menyiapkan lagu tema untuk sebuah filem dokumentari mengenai penerbangan berjudul "Aviation: The Invisible Highway".

Filem dokumentari itu turut melibatkan rakannya yang juga seorang yang meminati hobi penerbangan iaitu hero filem Indiana Jones, Harrison Ford.

Mac lalu, pesawat ringan yang dipandu Ford turut terhempas di satu lapangan golf namun dia terselamat daripada nahas tersebut.

BERIKUT ADALAH SENARAI FILEM-FILEM YANG LAGU TEMANYA ADALAH CIPTAAN JAMES HORNER:

> Star Trek II: The Wrath of Khan (1982)

> 48 Hrs. (1982)

> Cocoon (1985)

> Aliens (1986)

> Captain EO (1986)

> An American Tale (1986)

> Willow (1988)

> The Land Before Time (1988)

> Field of Dreams (1989)

> Glory (1989)

> The Rocketeer (1991)

> Sneakers (1992)

> Searching for Bobby Fisher (1993)

> Legends of the Fall (1994)

> Braveheart (1995)

> Casper (1995)

> Apollo 13 (1995)

> Jumanji (1995)

> Titanic (1997)

> How the Grinch Stole Christmas (2000)

> The Perfect Storm (2000)

> A Beautiful Mind (2001)

> House of Sand and Fog (2003)

> Avatar (2009)

> The Amazing Spider-Man (2012)

Tags / Kata Kunci: James Horner , Titanic , My Heart Will Go On

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan