Saingan 'Boyhood' & Birdman Rangkul Filem Terbaik Anugerah Akademi 87

Diterbitkan: Ahad, 22 Februari 2015 1:07 PM

Boyhood yang menjalani penggambaran selama 11 tahun disebut-sebut bakal membawa pulang trofi Filem Terbaik.

(Ubah saiz teks)

PERDEBATAN dan ramalan siapakah bakal membawa pulang trofi Anugerah Akademi kali ke-87 yang akan berlangsung di Dolby Theatre, Hollywood Los Angeles cukup rancak diperkatakan ketika ini.

Dua buah naskah iaitu Boyhood arahan Richard Linklayer dan Birdman (Alejandro González Inarritu) antara paling mendapat perhatian untuk merangkul trofi Filem Terbaik.

Sudah pun diiktiraf dalam beberapa anugerah berprestij seperti Anugerah Golden Globe dan Anugerah Akademi Filem British (BAFTA), Boyhood yang menjalani penggambaran selama 11 tahun dilihat berpotensi untuk membawa pulang trofi berkenaan.

Naskah yang menampilkan lakonan Ellar Coltrane itu cukup kuat bukan sahaja dari segi jalan ceritanya tetapi keunikan filem itu dihasilkan.

Pun begitu, kehebatan filem Birdman dijangka memberikan saingan sengit terhadap Boyhood tidak harus diketepikan yang turut menampilkan jalan cerita hebat.

Filem lain yang turut bertanding dalam kategori berkenaan adalah American Sniper, Selma, Whiplash, The Grand Budapest Hotel, The Theory of Everything dan The Imatation Game.

Anugerah Akademi bakal berlangsung pada 22 Februari (waktu tempatan) dan akan disiarkan secara langsung pada pukul 9 pagi, 23 Februari (waktu Malaysia) di saluran HBO dan HBO HD (Astro 411 dan 431).

Sementara itu, bagi kategori Pengarah Terbaik, Richard turut disebut-sebut bakal memiliki trofi berkenaan selepas melihat kepada faktor dia mengambil masa selama 11 tahun untuk menghasilkan Boyhood.

Birdman arahan Alejandro Gonzalez Inarritu.

Pengarahannya dalam naskah berkenaan juga amat kemas selain bukan mudah untuk mengarahkan sebuah filem dengan tempoh tersebut dan ramai menyanjungi usaha Richard dan menganggap hasil kerjanya dalam Boyhood mengagumkan.

Calon lain yang turut bertanding dalam kategori tersebut adalah Alejandro Gonzalez Inarritu (Birdman), Wes Anderson (The Grand Budapest Hotel), Mortem Tyldum (The Imitation Game) dan Bennett Miller (Foxcather).

Sementara itu, kejayaan Julianne Moore membawakan watak wanita yang menghidap penyakit Alzheimer dengan begitu berkesan diramalkan akan memberi tuah dan mengulang kejayaannya merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik termasuk di Screen Actors Awards.

Namun saingan sengit daripada pelakon seperti Felicity Jones (The Theory of Everything), Reese Witherspoon (Wild) dan Rosamund Pike (Gone Girl) juga perlu diberikan perhatian.

Manakala bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik pula, Eddie Redmayne mempunyai peluang cukup cerah untuk menggondol trofi berkenaan biarpun terpaksa mencabar beberapa calon lain seperti Bradley Cooper (American Sniper), Steve Carell (Foxcather) dan Michael Keaton (Birdman).

Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik pula, JK Simmons (Whiplash) dan Patricia Arquette (Boyhood) adalah calon kegemaran untuk membawa pulang trofi bagi kategori itu.

Tags / Kata Kunci: Birdman , Boyhood , Anugerah Akademi 87.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan