Mengenang Mahar Si Peminat Siti Nurhaliza

Diterbitkan: Rabu, 14 Januari 2015 11:13 AM

Minat serta bakatnya dalam bidang seni terutama muzik begitu menyerlah ketika hayatnya.

(Ubah saiz teks)

BELITUNG: Di sebalik populariti yang diraihnya selepas membintangi filem Laskar Pelangi, hidup Verrys Yamarno sebenarnya bermula dengan pelbagai cerita getir dan mencabar.

Mengakui meminati seni sejak kecil, Verrys atau Mahar, watak yang melonjak namanya di persada seni itu tinggal bersama ibu dan kakaknya sejak berusia tujuh tahun apabila ibu dan bapanya bercerai.

Anak pasangan Normala - M Yamin itu kemudian membesar sebagai kanak-kanak yang sihat fizikal dan mental di rumah kayu serba sederhana tanpa dilengkapi bekalan elektrik.

Namun ibunya mendidik Verrys dengan gigih.

Dalam temu bual dengan media sebelum ini, Verrys mengenang semula bagaimana hidupnya yang serba terhad di Pulau Belitung itu sebelum nasibnya mula berubah selepas membintangi filem arahan Riri Riza itu.

“Nak beli lampu gasolin, kami tidak mampu. Wang yang ada lebih baik disimpan dalam tabung untuk keperluan persekolahan.

“Ketika malam, aku selalu ke rumah nenek kerana di sana ada elektrik dan saya boleh menonton televisyen atau mendengar muzik,” katanya.

Dengan asuhan serba spontan itulah akhirnya Verrys membesar dengan bakat dalam bidang lakonan dan muzik.

"Aku suka lagu-lagu Chrisye, Ebiet G Ade dan Koes Plus. Aku juga suka Siti Nurhaliza. Semua lagu mereka indah," katanya.

Verrys ditemui meninggal dunia pada petang Isnin di rumah sewanya di Jakarta. Sebelum ini pelakon yang membawa watak Mahar dalam filem diadaptasi daripada novel Andrea Hirata itu mengadu sering sakit kepala dan muntah-muntah.

Hampir semua pelakon filem Laskar Pelangi dari Belitung menghadiri pengebumian Verrys di Tanah Perkuburan Taman Abadi, Cempaka, Desa Gantung, Selasa, Antaranya ialah Zulfahni yang membawa watak Ikal, Yogi (Kucai), Febriansyah (Borek), Marsela (Flo), Jefri Yanuar (Harun), Suharyadi (Trafani), Levina (Aling) dan Dewi Ayu Safitri (Sahara).

Keadaan itu kemudian dijelaskan Andrea yang mengesahkan Verrys terbabit dalam kemalangan jalan raya dua tahun lalu menyebabkan dia mengalami vertigo – penyakit yang menjadikan seseorang sentiasa pening dan muntah.

Sehari sebelum menghembus nafas terakhirnya, Verrys dikatakan demam teruk.

Dia bersama beberapa lagi pelakon Laskar Pelangi sedang mengikuti kelas pengajian filem dan televisyen di Institut Kesenian Jakarta.

Ketika penggambaran filem Laskar Pelangi, Verrys sebenarnya terpaksa menahan selera bagi menyesuaikan wataknya sebagai seorang kanak-kanak miskin.

Kata Verrys, dia suka memakan apa saja hidangan yang enak tetapi selera itu perlu dikawal ketika Laskar Pelangi disiapkan.

“Riri mengawal pemakananku. Mana mungkin seorang kanak-kanak miskin badannya gemuk,” katanya.

Kerana cintanya yang mendalam kepada muzik, honorarium pertama daripada lakonannya dibelanjakan untuk membeli pemain MP4 dan satu set dram mainan, iaitu alat muzik paling digemarinya.

“Aku mahu beli dram sebenar, yang asli, tapi mahal sangat,” katanya.

Anak kelahiran Pulau Belitung ini disayangi ramai terutama keluarga dan rakan sekampungnya hingga ke akhir hayat.

Sementara itu, Riri dalam tweetnya menulis mengenai kematian Verrys: "Veris dicintai banyak orang. Semalam di RSCM (hospital) kami berkumpul dgn Pemda Belitung Timur,Pertamina Foundation & keluarga FFTV IKJ #VerisMahar.

"Veris Yamarno telah kembali pada penciptanya, mari kita serahkan Veris Mahar pada Alam. :_( Innalillahi.. #VerisMahar)."

Verrys berusia 18 tahun ketika menghembus nafas terakhirnya beberapa hari lalu. Antara dialog paling diingati dilafazkan Verrys dalam filem Laskar Pelangi ialah:“Jangan bimbang, pak. Serahkan saja kepada Mahar. Dan alam…”

Tags / Kata Kunci: Mahar , Laskar Pelangi , Siti Nurhaliza , Belitung

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan