Hubungan Mariah Carey & Nick Cannon Dikatakan Bermasalah

Diterbitkan: Isnin, 12 Mei 2014 12:04 AM

Mariah dan Nick bersama anak kembar mereka Monroe dan Moroccan pada hari jadi mereka yang ketiga pada 30 April lalu.

(Ubah saiz teks)

RUMAH tangga Mariah Carey dan suaminya, Nick Cannon dikatakan dilanda masalah ekoran penyanyi terkenal itu tidak tahan dengan sikap kebudak-budakkan suaminya itu sejak akhir-akhir ini.

Portal Huffington Post melaporkan, Mariah, 44, juga dikatakan sedang mempertimbangkan untuk menfailkan penceraian terhadap Nick bagaimanapun bimbang hartanya yang berjumlah USD515 juta (RM160 bilion) terpaksa dibahagikan kepada lelaki itu.

"Mariah benar-benar berang dan kecewa dengan sikap Nick dan sedang mempertimbangkan untuk bercerai namun dia sedar jika berbuat demikian hartanya turut dalam bahaya," kata sumber terdekat pasangan itu.

Penyanyi lagu We Belong Together itu berkahwin dengan Nick, 33, pada 30 April 2008 hanya selepas enam minggu berkenalan dan pasangan itu dikurniakan sepasang anak kembar iaitu Moroccan Scott Cannon dan Monroe Cannon, tiga tahun.

Mariah sebelum ini pernah berkahwin dengan Presiden Sony Music Tommy Matolla pada 1993 namun bercerai lima tahun kemudian.

Dalam pada itu, sumber memberitahu rumah tangga pasangan itu mula retak sejak November tahun lalu dan keadaan bertambah teruk sejak Nick melancarkan album kontroversinya berjudul White People Party Music April lalu.

Mariah dan Nick berkahwin selepas enam minggu berkenalan pada tahun 2008.

Semasa mengadakan wawancara bagi mempromosikan albumnya itu dengan sebuah stesen radio, Nick secara lantang mendedahkan dia pernah menjalinkan hubungan intim dengan beberapa wanita termasuk bintang realiti Kim Kardashian.

Malah menerusi temubual itu, Nick turut memberitahu secara terperinci hubungannya dengan Mariah dan rahsia kebahagian mereka sebagai suami isteri termasuk perihal di bilik tidur.

Mariah yang terkenal dengan reputasi bersih sepanjang bergelar penyanyi lebih 20 tahun dilaporkan berang dengan tindakan suaminya itu.

"Nick gemar bercerita tentang kehidupan peribadi mereka dan Mariah langsung tidak menyukai perkara itu kerana dia jarang memberikan komen mengenai kehidupan peribadinya kepada umum," ujar sumber itu lagi.

Sementara itu, menguatkan lagi gosip melibatkan pasangan itu, Mariah dan Nick tidak memperbaharui ikrar perkahwinan mereka tahun ini seperti kebiasaan dan hanya mengadakan majlis sambutan hari jadi anak-anak mereka yang jatuh pada tarikh sama.

"Mariah mula menunjukkan sikap 'diva' terhadap Nick dan mengarahkan semua perancangan untuk menyambut ulang tahun perkahwinan mereka dibatalkan kerana berang dengan sikap kebudak-budakkan suaminya itu," katanya.

Bagaimanapun Mariah dan Nick ada memuat naik status dan gambar di laman sosial Instagram masing-masing bersempena ulang tahun perkahwinan mereka.

Dalam perkembangan lain, Mariah bakal melancarkan album terbaharunya berjudul Me. I Am Mariah...The Elusive Chanteuse pada 27 Mei ini selepas lima tahun tidak muncul dengan buah tangan terbaharu.

Untuk rekod, Mariah adalah artis wanita paling banyak jualan albumnya di seluruh dunia iaitu sebanyak 220 juta unit dan kekal sebagai artis paling berjaya dalam sejarah muzik di Amerika Syarikat.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan