Star Wars Episod VII Berlatarbelakangkan 30 tahun Selepas Episod VI Return of the Jedi

Diterbitkan: Rabu, 19 Mac 2014 4:42 PM

Filem sains fiksyen sepanjang zaman.

(Ubah saiz teks)

KETUA Pegawai Eksekutif Walt Disney, Bob Iger memberitahu mesyuarat agung syarikat itu pada Selasa yang filem terbaru Star Wars: Episod VII akan mula ditayangkan dipawagam di seluruh dunia mulai 18 Disember 2015 dengan berlatarbelakangkan kisah 30 tahun selepas Episod VI: Return of The Jedi.

Disney telah membeli keseluruhan francais Star Wars termasuk LucasFilm pada harga AS$4.05 bilion (RM13.26 bilion) pada tahun 2012 bagi membolehkan siri filem paling popular dalam sejarah sains fiksyen itu boleh disambung semula selepas pengarah dan penerbit asalnya George Lucas menyatakan rasa penat dan bosan untuk memulakan pengambaran episod yang seterusnya.

Bagaimanapun Lucas masih kekal sebagai pemegang saham francais Star Wars dalam Disney dan juga masih terlibat sebagai penasihat filem tersebut.

Iger juga turut mengumumkan yang Disney akan menerbitkan dua buah filem Star Wars berturut-turut selepas Episod VII.

Return of the Jedi adalah siri terakhir dalam trilogi yang pertama filem Star Wars yang mula diterbitkan pada tahun 1977 hingga 1983.

Pelik pada eranya, filem Star Wars bermula dengan Episod IV terlebih dahulu diikuti oleh Episod V dan kemudian Episod VI.

Hampir 20 tahun kemudian baru George Lucas memulakan pengambaran Episod I dan diikuti oleh Episod II dan yang terakhir Episod III yang mengisahkan bagaimana Anakin Skywalker bertukar daripada seorang Jedi iaitu pelindung galaksi menjadi Darth Vader pengikut ajaran gelap yang kejam dan menakutkan.

Iger tidak pula mendedahkan siapakah barisan pelakon yang bakal membintangi Episod VII nanti melainkan mengesahkan kepada umum akan kemunculan semula karakter R2D2 - robot yang menjengkelkan serta mementingkan diri sendiri tetapi masih disayangi ramai kerana kesetiaannya kepada Luke Skywalker.

Kemudian selepas mesyuarat agung itu, laman web rasmi Star Wars mengumumkan yang filem terbaru ini bakal dibintangi oleh gandingan muka baru dan beberapa muka lama yang sinonim dengan siri itu.

Laman web itu turut mengumumkan yang pengambaran akan bermula Mei ini di Studio Pinewood London.

Peminat-peminat tegar francais filem tersebut mengharapkan pelakon asal seperti Harrison Ford (Han Solo), Mark Hamill (Luke Skywalker) dan Carrie Fisher (Leia Skywalker) akan kembali dalam Episod VII nanti.

Kesemua enam episod filem ini telah mengutip sejumlah AS$4.4 bilion dalam kutipan box office di seluruh dunia.

Episod VII akan diarahkan oleh pengarah terkenal filem sains fiksyen, JJ Abrams.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan