“Salah tetap saya... tapi cuba tengok dulu” - Tomok komen teguran ustaz - Berita Hiburan | mStar

“Salah tetap saya... tapi cuba tengok dulu” - Tomok komen teguran ustaz

Diterbitkan: Jumaat, 9 November 2018 3:22 PM

Tomok dikecam gara-gara memakai pakaian wanita dalam video muzik terbaharu. Foto Instagram @tomokofficial

(Ubah saiz teks)

TEGURAN dan nasihat ahli agama kepada Tomok yang berpakaian wanita dalam video muzik Bekas Kekasih disambut baik penyanyi lagu itu.

Bagaimanapun, Tomok, 34, meminta golongan agamawan dan netizen menonton terlebih dahulu video muzik tersebut dan mengambil mesej yang cuba disampaikan.

"Assalamualaikum... banyak perkara yang saya ingin jelaskan di sini tapi kita fokus satu-satu dulu ya. Saya sangat hargai (teguran) dari ustaz sampai ustazah, penuh timeline saya dua tiga hari ni.

ARTIKEL BERKAITAN: Tomok... Ia bukan cara berdakwah! Haram tetap haram! - PU Amin

"Salah tetap saya. Ya saya faham perkara itu tapi cuba tengok dulu mesej yang saya nak sampaikan dalam video muzik #bekaskekasih... please?," tulisnya di laman Instagram pada Jumaat.

Tomok terima teguran dan nasihat ahli agama.

Semalam, mStar Online melaporkan Pencetus Ummah (PU) Amin berkata, biarpun video muzik tersebut ada memberi mesej positif dan unsur dakwah namun ia tetap haram dari segi agama.

Menurut PU Amin atau nama sebenar Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim, hal itu telah disebut berdasarkan hadis Ibnu Abbas RA.

"Saya sudah melihat video muzik itu dan memang benar ada mesej positif dan unsur dakwah tapi cara penyampaian itu tetap salah dan haram.

"Menerusi hadis Ibnu Abbas mengatakan Rasulullah SAW melaknat lelaki yang meniru gaya perempuan dan melaknat perempuan yang meniru gaya lelaki.

"Walaupun hanya berniat sekadar lakonan dan untuk berdakwah tapi ia tetap haram dan berdosa," ujarnya.

Video muzik tersebut trending di laman YouTube.

Selain PU Amin, pendakwah PU Syed turut meluahkan pandangan yang sama mengenai isu ini di laman Instagram miliknya.

Dalam pada itu, Tomok turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberi teguran dan nasihat berhubung tindakannya mengenakan pakaian wanita tersebut.

"Saya terima kritikan korang dengan terbuka. Jutaan terima kasih pada mereka yang menegur saya dengan cara baik ataupun sebaliknya," katanya.

Sebelum ini menerusi sebuah portal berita, Tomok mengatakan tujuan dia berpakaian sebegitu demi menghidupkan lagi jalan cerita dalam video muzik tersebut.

Lagu Bekas Kekasih adalah ciptaan Aizat Amdan dan Mel Ramlan.

Tags / Kata Kunci: Tomok , Bekas Kekasih
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan