Nazim tidak sengaja pegang bahu Aprena Manrose, netizen jangan tambah cerita - Berita Hiburan | mStar

Nazim tidak sengaja pegang bahu Aprena Manrose, netizen jangan tambah cerita

Diterbitkan: Isnin, 22 Oktober 2018 6:20 AM

Aprena menyedari tindakan Nazim yang tidak sengaja memegang bahunya itu adalah salah. Foto Instagram: @mrsaprenamanrose.

(Ubah saiz teks)

PELAKON baharu Aprena Manrose menyedari tindakan Nazim Othman yang secara tidak sengaja memegang bahunya itu memberi persepsi buruk terhadap statusnya sebagai isteri.

Aprena, 25, berkata dia menerima teguran positif namun berasa hairan dengan sikap segelintir netizen yang suka menambahkan cerita negatif mengenai perkara itu.

"Saya menyedari perkara itu tidak elok. Yang mana positif, saya ambil tapi yang negatif tu saya baca dan gelak sahaja.

"Sebab sudah jelas dalam video itu Nazim tidak sengaja memegang bahu saya. Yang saya hairan netizen yang suka mengada-adakan cerita yang negatif," katanya kepada mStar Online.

Aprena ditemui ketika majlis pelancaran produk Irisa Cosmetic di Black Box, Publika, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Video Nazim tidak sengaja memegang bahu Aprena menerima kecaman.

Sebelum ini, video yang dimuat naik di laman Instagram Aprena pada awal Oktober mendapat kecaman netizen.

Rata-rata mereka menegur Nazim yang dilihat seakan sengaja memegang bahu Aprena dan menganggap tindakan tersebut tidak menghormati pelakon itu yang sudah berkahwin.

Tambah Aprena, dia enggan mengambil peduli kata-kata negatif memandangkan suaminya, Mohd. Afiq Hazman mengetahui perkara tersebut dan tidak pernah marah.

"Suami saya mengetahui perkara itu. Jadi, kenapa saya perlu dengar kata orang lain sedangkan suami saya sendiri tak marah.

"Dia pun tahu yang perkara itu tidak sengaja. Lagipun, saya tak akan berkongsi apa-apa di laman sosial tanpa kebenaran suami," ujarnya.

Aprena bersyukur suami seorang yang memahami dan sentiasa menyokongnya.

Dalam pada itu, anak bongsu penyanyi dangdut terkenal Iwan ini hanya akan fokus pada satu tawaran sekiranya mendapat watak utama.

"Kalau dapat watak utama, saya akan fokus pada satu sahaja sebab bukan senang dan hari-hari nak kena jalani penggambaran.

"Manakala kalau watak sampingan atau watak kedua utama, saya akan selit tawaran lain. Selagi mana boleh kerja, saya akan kerja.

"Sebab saya masih baru dan perlu banyak lagi belajar dalam bidang lakonan," katanya.

Tags / Kata Kunci: Aprena Manrose , Nazim Othman
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan