Santesh tak sangka lebih 13 juta tonton ‘Amalina’, dia pun terkejut - Berita Hiburan | mStar

Santesh tak sangka lebih 13 juta tonton ‘Amalina’, dia pun terkejut

Diterbitkan: Khamis, 18 Oktober 2018 6:30 AM

Santesh mula dikenali menerusi lagu Amalina. Foto: LOW BOON TAT.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penyanyi baharu berbangsa India yang popular menerusi lagu Amalina iaitu Santesh mengakui terkejut apabila lagu nyanyiannya itu menjadi tular di laman sosial.

Santesh, 29, berkata dia tidak menjangka lagu ciptaan ahli kumpulan Khalifah, Harry itu diminati pendengar sehingga ada yang menyanyikan semula dan memuat naik di Instagram.

"Saya memang terkejut apabila lagu nyanyian saya iaitu Amalina menjadi tular di media sosial dan mendapat sambutan yang hangat.

"Sebelum ini hanya pengikut laman sosial saya sahaja mengetahui tentang saya tapi bila lagu itu popular, ramai yang ingin mengikuti perkembangan saya.

"Tak sangka lagu itu bukan sahaja popular tapi ada juga segelintir netizen yang menyanyikan semula dan memuat naik di Instagram mereka," katanya kepada mStar Online.


Santesh tidak menjangka lagu Amalina akan menjadi terkenal.

Santesh ditemui ketika sidang media KL Rhythm Nitez: Konsert Suara Anak Malaysia di Biro Pelancongan, di sini pada Isnin lalu.

Video muzik lagu Amalina itu mencecah lebih 13 juta tontonan dalam masa kurang dua bulan.

Dalam pada itu, Santesh mempunyai impian untuk mengembangkan kerjaya nyanyiannya di India menerusi lagu runut bunyi dalam mana-mana filem di negara itu.

Menurutnya, dia sudah bertemu dengan beberapa orang produser yang bakal bekerjasama dengannya untuk filem di negara tersebut.

"Memang saya sudah impikan untuk mengembangkan kerjaya nyanyian di India. Fokus utama saya adalah untuk runut bunyi sebuah filem di sana.

Santesh.

"Saya pun sudah berjumpa dengan beberapa orang produser dan berbincang mengenai perkara tersebut. Mungkin tahun hadapan impian saya ini akan tercapai," ujarnya.

Selain itu, Santesh antara barisan artis yang akan membuat persembahan pada Konsert Suara Anak Malaysia yang akan berlangsung pada Sabtu ini di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana Kuala Lumpur bermula pukul 8.30 malam.

Konsert ini bakal menampilkan persembahan dari Datuk David Arumugam, Francisca Peter, Siti Nordiana, Syafiq Farhain, Bagio Damasutra, Yabang Khalifah dan Suki Low.

Tags / Kata Kunci: Santesh , Amalina
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan