“Bencana di Indonesia bukan kerana dosa” - Yuka Kharisma kesal kenyataan pendakwah tempatan - Berita Hiburan | mStar

“Bencana di Indonesia bukan kerana dosa” - Yuka Kharisma kesal kenyataan pendakwah tempatan

Diterbitkan: Jumaat, 12 Oktober 2018 6:15 AM

(Ubah saiz teks)

PENYANYI kelahiran Indonesia Yuka Kharisma mengakui kurang bersetuju dengan pendapat seorang pendakwah tempatan yang membuat kenyataan tidak sensitif berhubung bencana alam di negaranya, baru-baru ini.

Yuka, 31, yang sudah hampir lima tahun menetap di Malaysia berkata, apa yang berlaku merupakan satu ujian dan punca di sebaliknya merupakan rahsia Allah.

"Itu adalah ujian, bukan orang di Palu (Sulawesi) sahaja malah dalam hidup kita sehari-hari pun akan diuji dalam pelbagai bentuk.

"Dari sudut geografi pun, negara Indonesia memang banyak gunung berapi dan selalu dilanda gempa bumi, janganlah cakap ia berlaku kerana dosa.

"Pada saya, untuk berdakwah itu perlu berhati-hati dalam memilih subjek. Sepatutnya tunjukkan rasa simpati, kat sana pun ramai orang Islam," ujarnya kepada mStar Online.

Yuka kini giat menjalankan promosi single baharunya yang berjudul Mati Rasa.

Biarpun tiada ahli keluarga dan kenalannya yang terlibat dalam bencana pada 28 September lalu, dia turut menzahirkan rasa simpati dan berharap semuanya akan kembali pulih seperti biasa.

Yuka diminta mengulas mengenai kenyataan seorang pendakwah tempatan yang baru-baru ini mengaitkan gejala maksiat dan dosa golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) sebagai punca kejadian tersebut.

Dalam pada itu, Yuka kini giat mempromosikan single terbaharunya yang berjudul Mati Rasa dan ia sudah dimuat naik ke laman YouTube sekitar September lalu.

Tambah Yuka lagi, dia percaya impiannya untuk berdiri sebaris dengan nama-nama besar dalam industri di negara ini akan tercapai suatu hari nanti.

"Perjalanan ini masih jauh, tapi saya percaya masanya akan tiba. Contohnya sebelum ini saya tak pernah bayangkan untuk ada konsert, tapi akhirnya ia menjadi nyata biarpun saya keluarkan bajet sendiri.

"Muzik yang saya bawakan susah sikit untuk diterima, saya juga agak terkilan apabila radio tak nak mainkan lagu kerana pengikut saya tak ramai, sedangkan orang lain yang bersandarkan pada populariti sahaja, senang-senang diundang ke radio," ujarnya lagi.

Yuka menggondol trofi Artis Baru Wanita Terbaik menerusi Anugerah Planet Muzik (APM) pada 2016.

Menurut Yuka, dia juga menganggap karya rakan senegaranya seperti lagu Tak Tun Tuang (Upiak) dan Bobo Di Mana (Lucinta Maya) lebih senang diterima kerana rentaknya yang catchy dan senang ditangkap halwa telinga.

"Pada saya, bukan nak cakap citarasa pendegar itu rendah, tapi lagu sebegitu lebih senang masuk, ditambah pula dengan kontroversi, maka ada cerita untuk dijual.

"Ia ibarat perbandingan antara mi segera dengan stik. Lagu yang diibaratkan seperti mi segara tu 'kenyangnya' sekejap sahaja berbanding stik yang berkualiti," katanya lagi.

Selain Mati Rasa, pemenang trofi Artis Baru Wanita Terbaik Anugerah Planet Muzik (APM) 2016 itu turut dikenali dengan lagu Kecewa dan Hati Berbisik.

Tags / Kata Kunci: Yuka Kharisma , Mati Rasa
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan