Lebih bersemangat selepas kahwin kerana Fazura - Fattah Amin - Berita Hiburan | mStar

Lebih bersemangat selepas kahwin kerana Fazura - Fattah Amin

Diterbitkan: Jumaat, 12 Oktober 2018 6:10 AM

Fattah berasa bertuah ditemukan jodoh dengan isterinya, Fazura. Foto Instagram: @fattahaminz.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelakon Fattah Amin mengakui isterinya Nur Fazura banyak mempengaruhi kehidupannya selepas mereka berkahwin.

Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 29, berkata dia rasa bertuah dapat memiliki seorang isteri yang sentiasa memberi nasihat dan sokongan sepenuhnya.

"Alhamdulillah saya ditemukan jodoh dengan Fazura. Saya rasa sangat-sangat bertuah dapat berkahwin dengan dia yang sangat berpengalaman dalam industri.

"Dia seorang yang yakin dan sentiasa memberi inspirasi kepada orang luar. Bila saya dapat berkahwin dengan dia, barulah saya kenal dia betul-betul.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak akan menipu peminat” - Fattah Amin tekejut dituduh tipu ejen produk


Fazura sentiasa memberi sokongan penuh terhadap suaminya.

"Fazura bagi sokongan penuh, banyak memberi nasihat dan aura positif kepada saya. Itu yang membuatkan saya rasa semangat selepas berkahwin," katanya kepada mStar Online.

Fattah ditemui ketika majlis memperkenalkan dia sebagai duta SUV crossover kompak Toyota C-HR di Slate @ The Row, di sini pada Khamis.

Fattah dan Fazura bernikah pada 27 November tahun lalu dalam majlis tertutup.

Perkenalan mereka bermula ketika bergandingan buat pertama kali menerusi drama Hero Seorang Cinderella dan mempunyai lagu duet drama itu.

Selepas itu, Fattah dan Fazura sekali lagi bekerjasama menerusi telefilem Wanita Terindah.


Fattah sebagai duta SUV crossover kompak Toyota C-HR.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Isterimewa ini mendedahkan dia hampir berputus asa selepas menerima pelbagai kecaman pada awal kemunculannya dalam industri seni.

Bagaimanapun, Fattah bangkit semula dengan mengambil segala kritikan dan komen negatif satu cabaran untuk membuktikan dia mampu untuk buat yang lebih baik.

"Saya pernah rasa putus asa. Tapi apabila saya duduk dan fikir semula kenapa perlu saya rasa sebegitu kalau tak dari awal lagi saya patut berhenti.

"Tapi saya ambil semua komen negatif tu jadikan satu cabaran untuk buktikan yang saya boleh buat yang lebih baik.

"Sebenarnya semua yang negatif itu membuatkan saya berfikir ini adalah waktu untuk saya maju ke hadapan dan saya terus belajar sampai saya berada di mana saya berada sekarang," ujarnya.

Tags / Kata Kunci: Fattah Amin , Nur Fazura
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan