Sangeeta anggap penyampai BFM teman istimewanya - Berita Hiburan | mStar

Sangeeta anggap penyampai BFM teman istimewanya

Diterbitkan: Khamis, 11 Oktober 2018 6:00 AM

Sangeeta buat pertama kali keluar bersama Richard sebagai pasangan di malam ABPBH31.

(Ubah saiz teks)

PELAKON Sangeeta Krishnasamy sedang mengenali hati budi penyampai radio BFM iaitu Richard Bradbury.

Sangeeta, 32, berkata hubungan mereka bermula ketika dia hadir ke konti untuk temu bual mengenai filem Adiwira pada setahun yang lalu.

Menurut Sangeeta, kehadiran dia dengan Richard di malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 31 (ABPBH31) pada Ahad lalu merupakan kali pertama mereka keluar bersama sebagai pasangan.

"Saya dan Richard dalam proses mengenali satu sama lain. Saya dah kenal dia sejak setahun yang lalu sebagai kawan.

Sangeeta sudah mengenali Richard sejak setahun yang lalu.

"Ketika itu, saya datang ke konti untuk ditemu bual olehnya. Sejak itu, kami berkawan.

"Ini kali pertama saya keluar bersama dengan dia sebagai pasangan. Boleh dikatakan dia adalah teman istimewa saya," katanya kepada mStar Online.

Sangeeta dan Richard dilihat hadir bersama pada malam kemuncak ABPBH31 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.

Tambah Sangeeta, dia enggan mengulas lebih lanjut mengenai hubungan mereka namun akan berkongsi sekiranya ada berita baik.

Dalam pada itu, Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia (FFM29) ini berharap dapat memegang watak yang lebih mencabar seperti antagonis.

Sangeeta mahu watak yang lebih mencabar. Foto: FAIHAN GHANI.

"Saya tak ada idam watak antogonis tapi kalau boleh nak yang lebih cabaran dari segi watak itu.

"Mungkin sebab sebelum ini saya pegang watak cikgu, orang tak dapat nak bayangkan saya bawa watak antagonis.

"Tapi, kalau diberikan peluang, saya memang keluar dari bayangan tersebut dan melakonkan sesuatu watak yang berbeza," katanya.

Sebelum ini, Sangeeta memegang watak sebagai seorang guru menerusi filem Adiwira yang melonjakkan namanya sebagai pelakon.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan