“Rebah dan pendarahan otak… mulanya sangka suami bergurau” - Ibu Syafiq Kyle - Berita Hiburan | mStar

“Rebah dan pendarahan otak… mulanya sangka suami bergurau” - Ibu Syafiq Kyle

Diterbitkan: Khamis, 20 September 2018 12:11 PM

(Ubah saiz teks)

IBU kepada pelakon Syafiq Kyle iaitu Rohaya Sulaiman terkejut apabila suaminya, Abdul Razak Husin tiba-tiba rebah di majlis ramah mesra aktor tersebut bersama peminat di sebuah pusat hiburan keluarga, di Petaling Jaya pada Rabu.

Menurut Rohaya, 55, dia menyangkakan itu hanya gurauan memandangkan suaminya itu merupakan seorang yang gemar berjenaka.

"Masa dia terduduk itu kami ingat dia bergurau sahaja kerana dia memang suka mengusik dan buat lawak.

"Rupa-rupanya memang betul-betul dia pengsan dan kami sangat terkejut kerana dia sihat sepanjang perjalanan ke sana," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Abdul Razak rebah selepas menyanyikan satu lagu di majlis ramah mesra Syafiq Kyle bersama peminat.

Sementara itu, Rohaya berkata suaminya itu tidak menunjukkan sebarang simptom atau tanda-tanda sakit sebelum ini.

Bagaimanapun, Abdul Razak yang berusia 55 tahun itu pernah mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, namun bukanlah di tahap membimbangkan.

"Ketika kami tiba di majlis tersebut, dia ceria sahaja dan tak ada masalah. Selalunya kalau dia sakit atau tak sihat dia akan beritahu.

"Sekarang ini dia separa sedar dan masih mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya, tak pasti lagi bila akan dibenarkan keluar.

Ibu bapa Syafiq Kyle, Rohaya dan Abdul Razak.

"Doktor maklumkan ada berlaku pendarahan pada bahagian otak tetapi kaedah rawatan tidak membabitkan pembedahan," katanya.

Dalam pada itu, Rohaya turut berterima kasih kepada semua tetamu yang menghulurkan bantuan ketika berada di lokasi kejadian.

Dia mengharapkan orang ramai dapat mendoakan kesihatan suaminya itu agar akan segera pulih seperti sediakala.

"Terima kasih kepada semua peminat Syafiq yang membantu dan saya mohon semua mendoakan kesihatan suami dan semoga dia cepat pulih.

"Syafiq pun akan berada di hospital hari ini meskipun dia sibuk dengan jadual penggambaran," ujarnya.

Tags / Kata Kunci: Syafiq Kyle
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan