Aliff Syukri taja GV5! Astro tentukan syarat enggan terpalit kontroversi Vida - Berita Hiburan | mStar

Aliff Syukri taja GV5! Astro tentukan syarat enggan terpalit kontroversi Vida

Diterbitkan: Khamis, 20 September 2018 6:45 AM

Aliff Syukri penaja utama program Gegar Vaganza musim kelima. Foto Instagram @aliffsyukriterlajaklaris

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pihak Astro menetapkan syarat tertentu kepada penaja Gegar Vaganza musim kelima (GV5) agar tidak timbul sebarang isu seperti mana berlaku kepada juara terdahulu, Aishah.

Pengurus Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, kesemua penaja juga sudah sedia maklum mengenai perkara tersebut dan sebarang isu tidak sepatutnya timbul.

"Pihak kami ada membuat perjanjian bertulis dan meletakkan syarat tertentu kepada pihak penaja agar isu dan kontroversi sebelum ini tidak berulang.

"Malah pihak penaja juga sedia maklum dengan syarat-syarat ini dan rasanya tidak akan menjadi apa-apa masalah," katanya.

Raqim ditemui pada sidang media memperkenalkan barisan 12 peserta GV5 yang diadakan pada petang Rabu.

GV5 bakal bersiaran secara langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dekat sini bermula 30 September ini.

Inilah barisan 12 peserta program Gegar Vaganza musim kelima.

Ia juga akan disiarkan menerusi saluran Ria (104) dan Ria HD (123).

Sebelum ini, Aishah membuat pendedahan dia masih belum menerima hadiah sebidang tanah lot banglo selepas hampir setahun menjadi juara GV4.

Malah penyanyi itu turut mendakwa, barang kemas hadiah daripada usahawan Datuk Seri Vida yang bernilai RM80,000 juga didapati palsu.

Sementara itu, penaja utama GV5, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman memberitahu dia tidak mempunyai hak untuk menentukan bentuk hadiah akan diberikan kepada pemenang kerana perkara itu ditentukan sepenuhnya oleh pihak produksi.

Malah kata Aliff, dia tidak berniat untuk meniru gaya Datuk Seri Vida kerana dia mempunyai strategi tersendiri dalam mempromosikan produknya.

"Saya cuma menaja... Berapa Astro suruh bayar saya beri tetapi untuk tentukan hadiah apa akan diberikan itu kerja pihak produksi dan saya tidak campur.

"Mengenai penampilan saya pada GV5 nanti, kalau Astro tak benarkan saya naik ke pentas saya akur... Kalau tak bagi saya menyanyi, saya ikut juga.

"Rasanya saya tidak perlu ikut cara Datuk Vida kerana itu karakternya manakala saya ada cara tersendiri," ujarnya.

Gegar Vaganza bermula dari musim pertama sehingga musim keempat ditaja oleh Vida.

Tags / Kata Kunci: Aliff Syukri , Gegar Vaganza 5
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan