Mayat Acappan dibakar di Krematorium Simpang Lima, Klang - Berita Hiburan | mStar

Mayat Acappan dibakar di Krematorium Simpang Lima, Klang

Diterbitkan: Jumaat, 14 September 2018 5:41 PM

(Ubah saiz teks)

PUCHONG: Perkarangan rumah mendiang Samynathan Rethinam atau lebih mesra disapa Acappan dipenuhi ahli keluarga dan kenalan rapat sejak pukul 2 petang Jumaat bagi memberi penghormatan terakhir kepada pelawak terkenal itu.

Suasana sayu dan suram menyelubungi rumah mendiang di Taman Puchong Utama ketika upacara keagamaan dijalankan.

Menurut maklumat ahli keluarga, mayat Acappan dibakar di Krematorium Simpang Lima, Klang kira-kira pukul 6.30  petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelawak Acappan meninggal dunia


Keluarga dan kenalan rapat memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Acappan.

Antara rakan artis yang kelihatan mengunjungi rumah mendiang ialah pelakon dan pelawak Farouk Hussein serta Yassin Yahya.

Yassin ketika ditemui berkata dia tidak menyangka mendiang menghidap penyakit serius.

"Mendiang aktif bersukan, malah saya kerap bermain bola bersamanya dan dia langsung tidak menunjukkan sebarang masalah kesihatan.

"Pemergian Acappan adalah kehilangan besar buat industri hiburan negara," ujarnya kepada mStar Online.


Suasana sayu di rumah mendiang di Taman Puchong Utama.

Acappan meninggal dunia kira-kira pukul 2.43 pagi Jumaat akibat kegagalan buah pinggang.

Pelawak veteran itu meninggalkan seorang isteri, Yogeswari Subramaniam 53, dan tiga orang anak iaitu Vikneshwaran 31, Dhineshwaran 28 dan Yhuveneshwary 24.

Mendiang antara artis berbangsa India yang popular dalam indusri hiburan Melayu sejak tahun 1980an dan dicungkil bakat menerusi rancangan siaran RTM iaitu Santan Berlada dan juga terlibat dalam filem Melayu antaranya Mira Edora, Sejati, Adik, Rimba Malam, Sahabat, Simfoni Kasih, Suratan Kasih, Bisikan Kasih dan Ghazal Untuk Rabiah.

Tags / Kata Kunci: Acappan
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan