Demi menjaga maruah, Salina Saibi tolak tawaran berkemban - Berita Hiburan | mStar

Demi menjaga maruah, Salina Saibi tolak tawaran berkemban

Diterbitkan: Ahad, 19 Ogos 2018 6:40 AM

Salina Saibi terpaksa melepaskan tawaran berlakon sebuah filem yang memerlukan dia tampil berkemban.

(Ubah saiz teks)

PELAKON Salina Saibi terpaksa menolak tawaran sebuah filem epik disebabkan enggan berpakaian separuh bogel atau berkemban.

Salina, 36, berkata dia membuat keputusan itu selepas berfikir panjang dan berbincang dengan suaminya, Azmir Osman.

"Saya ada menerima tawaran berlakon untuk sebuah filem epik dua bulan lalu. Pada mulanya memang sangat teruja.

"Tapi bila berborak dengan pihak produksi memberitahu dalam filem itu saya perlu berkemban setiap masa dan ada babak mandi air terjun saya jadi berat hati.

Salina bersama suami dan dua anak perempuan mereka.

"Selepas berfikir panjang dan berbincang dengan suami, saya terpaksa menolak tawaran tersebut," kata Salina kepada mStar Online.

Tambah Salina, biarpun sudah lama tidak muncul dalam mana-mana filem namun dia lebih mementingkan maruahnya dan menganggap ia bukan rezekinya.

Bagi pelakon drama bersiri Gerak Khas ini, dia tidak perlu melakukan sesuatu seperti itu hanya semata-mata untuk membintangi sesebuah filem.

"Sebenarnya saya dah lama tak berlakon filem dan bila dapat tawaran itu sudah tentu rasa teruja.

Salina bersama rakan pelakon drama bersiri Gerak Khas.

"Tapi nak buat macam mana, pakaian itu terlalu seksi. Memanglah saya ada berpakaian seksi tapi tidaklah sampai mahu berkemban.

"Saya pun sudah berkeluarga dan ada anak perempuan. Saya tidak mahu gadaikan maruah demi nak berlakon filem," ujarnya.

Dalam pada itu, Salina percaya ada hikmah dan rezeki yang datang selepas menolak tawaran tersebut.

"Tak apa la, bukan rezeki saya untuk berlakon dalam filem itu. Tapi saya percaya ada hikmah semua ini.

"Mungkin ada rezeki lain yang akan datang selepas ini. Lagipun, sekarang ini saya masih terikat dengan drama Gerak Khas," katanya.

Tags / Kata Kunci: Salina Saibi
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan