CGIG dan OUM perkenal 19 modul untuk iktiraf penggiat seni - Berita Hiburan | mStar

CGIG dan OUM perkenal 19 modul untuk iktiraf penggiat seni

Diterbitkan: Sabtu, 18 Ogos 2018 12:30 AM

Antara panel yang terlibat dalam pembangunan 19 modul kluster melibatkan CGIG dan OUM baru-baru ini.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pengenalan 19 modul kluster yang dibangunkan oleh Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG) bersama Open University Malaysia (OUM) bakal memberi pengiktirafan sewajarnya kepada penggiat-penggiat seni di negara ini.

Menurut Pengerusi CGIG, Datuk Jurey Latiff Rosli, usaha sama yang bakal membawa manfaat besar kepada industri itu bertitik tolak dengan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani pihaknya bersama OUM, Mei lalu.

"Dengan wujudnya program ini, ia dapat memberi pengiktirafan selayaknya buat penggiat seni yang sudah lama mengabdikan diri dalam industri.

"Ada dalam kalangan mereka yang berpengalaman tetapi tidak dibayar sewajarnya kerana tiada pengiktirafan. Apabila mereka menyertai modul anjuran kita, ilmu serta pengalaman mereka akan diiktiraf dan mereka juga diberi tauliah.

"Jadi, apabila mereka dipanggil untuk menyampaikan ilmu misalnya, bayaran kepada mereka juga akan dibayar mengikut tahap selayaknya," ujar Jurey sewaktu dihubungi mStar Online, Jumaat.

Menerusi program pada 1 hingga 3 Ogos lalu, 19 modul kluster melibatkan pelbagai cabang seni seperti pengarahan filem, penulisan skrin, animasi digital, sinematografi dan banyak lagi telah dibangunkan oleh 20 panel terlibat.

Mereka terdiri daripada pengarah dan penerbit terkenal antaranya Datuk Yusof Haslam, pelakon Datuk Ahmad Tarmimi Siregar dan Fauziah Nawi.

Sementara itu, Jurey turut melihat program ini sebagai satu peluang keemasan untuk penggiat seni kerana ia menawarkan pengajian dalam waktu yang fleksibel dan memudahkan mereka yang sentiasa sibuk dengan kerjaya.

"Mungkin di sesetengah universiti mereka perlu melakukan pengajian sepenuh masa untuk diiktiraf, namun program CGIG bersama OUM sangat berbeza dan memudahkan penggiat seni.

"Pengajian modul itu boleh diikuti secara part time pada hujung minggu sahaja. Malah mereka yang sudah ada pengalaman akan dinilai terus dan boleh diiktiraf pada tahap yang sepatutnya tanpa perlu mengikuti pengajian yang panjang," ujarnya.

Tambah Jurey lagi, sudah ada beberapa penggiat seni yang menghubungi pihaknya dan menyatakan keinginan untuk menyertai program itu.

Jelasnya, 19 modul itu dijangka akan bermula pada hujung tahun ini.

Malah katahya banyak lagi modul yang bakal dibangunkan mengikut kehendak pasaran dan kepelbagaian cabang seni pada masa akan datang agar pengiktirafan sewajarnya dapat dilakukan.

Tags / Kata Kunci: Jureyy Latif , CGIG
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan