Ras Adiba marah cadangan menteri, transgender jangan guna tandas OKU! - Berita Hiburan | mStar

Ras Adiba marah cadangan menteri, transgender jangan guna tandas OKU!

Diterbitkan: Rabu, 15 Ogos 2018 6:30 AM

Ras Adiba

(Ubah saiz teks)

PERSONALITI televisyen Ras Adiba Radzi membantah saranan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh yang membenarkan komuniti transgender menggunakan tandas Orang Kelainan Upaya (OKU).

Dia yang juga Pengerusi dan Pengasas Persatuan OKU Sentral menegaskan kemudahan tersebut disediakan khas untuk golongan yang tidak berupaya.

"Saya sebagai Pengerusi dan Pengasas Persatuan OKU Sentral ingin menyampaikan bantahan kami di atas saranan YB untuk membenarkan LGBT menggunakan tandas kami.

ARTIKEL BERKAITAN: Transgender boleh guna tandas OKU buat sementara waktu

"Maaf kami sebulat suara tidak setuju. Ini adalah hak kami, kenapa perlu kami kongsi dengan mereka yang berupaya?" ujarnya di Instagram.

Pada Isnin lalu, Fuziah Salleh menyarankan komuniti transgender agar menggunakan tandas yang dikhaskan untuk OKU buat sementara waktu sebelum mereka diterima sepenuhnya oleh masyarakat.

Beliau berkata, langkah sementara itu adalah penyelesaian terbaik selepas mengambil kira perasaan segelintir wanita yang berasa tidak selamat apabila golongan transgender menggunakan tandas wanita.

Surat terbuka Ras Adiba kepada Fuziah Salleh.

Dalam pada itu, Ras Adiba berkata, kemudahan itu sering disalahgunakan oleh masyarakat tidak bertanggungjawab, malah turut dijadikan tempat merokok dan stor.

"Tahukah YB bahawa tandas kami sering disalahgunakan orang bukan OKU, juga untuk merokok, dijadikan bilik stor atau tempat rehat pekerja pembersihan.

"Kami sudah sekian lama melalui keadaan sebegini, mengapalah YB ingin mencadangkan sebegitu?" soalnya.

Tambahnya, dia meminta pihak tersebut membuat kajian terperinci terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan yang boleh memberi kesan kepada masyarakat.

"Saya pohon YB sebagai seorang Menteri meminta maaf kepada komuniti OKU di Malaysia, kerana tindakan YB ini membuat saya dan sahabat-sahabat OKU semua marah.

"Pohon berfikir dahulu dan hormati perasaan kami sebelum melulu memberikan cadangan tanpa tahu menahu akan hak kami," ujarnya.

Tags / Kata Kunci: Ras Adiba , Tandas OKU
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan