Kaka Azraff berlakon filem di Indonesia - Berita Hiburan | mStar

Kaka Azraff berlakon filem di Indonesia

Diterbitkan: Jumaat, 10 Ogos 2018 6:00 AM

Kaka Azraff kini melebarkan karier lakonan di Indonesia.

(Ubah saiz teks)

HASRAT penyanyi Kaka Azraff untuk melebarkan sayapnya ke negara jiran Indonesia akhirnya tercapai apabila dia bakal muncul menerusi sebuah filem terbitan negara itu berjudul Zharfa The Movie.

Kaka berkata, filem yang memperlihatkan dia memegang watak utama turut menggandingkannya dengan aktor popular Indonesia, Donny Alamsyah.

“Ia sebuah filem yang berat namun saya terima juga kerana sedar itu adalah peluang saya melebarkan sayap di Indonesia.

“Tak sangka juga diberikan watak utama malah turut bergandingan dengan Donny Alamsyah.

Kaka tampil dengan single terbaharu yang berjudul Sibuk. 

“Alhamdulillah ia pengalaman yang tidak boleh saya lupakan dan berharap ia mendapat sambutan baik di Indonesia dan Malaysia apabila ia ditayangkan kelak,” katanya.

Bercakap lanjut mengenai filem itu, Kaka berkata dia menjalani penggambaran sekitar April lalu dan ia dijangka menemui penonton pada penghujung tahun ini.

Dalam pada itu, Kaka berkata, penglibatannya dalam filem itu juga diharap dapat membuka ruang kepadanya untuk memperkenalkan muziknya kepada pendengar di negara itu.

Baru sahaja melancarkan single terbaharu berjudul Sibuk, Kaka bagaimanapun tidak terburu-buru sebaliknya ingin melihat reaksi peminat apabila menonton filem lakonannya.

Alif bertindak sebagai penerbit untuk album penuh Kaka yang akan dilancarkan pada awal tahun hadapan.

“Buat masa ini belum ada perancangan khusus untuk melancarkan karier nyanyian saya di sana kerana saya ingin tunggu filem itu ditayangkan terlebih dahulu.

“Insya-Allah jika sambutan baik dan orang mula mengenali saya mungkin itu masa sesuai untuk saya kembangkan muzik saya di Indonesia,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Kaka berkata, buat masa ini dia ingin berehat seketika daripada dunia lakonan bagi memberi tumpuan kepada promosi Sibuk.

Malah kata Kaka, dia juga sedang giat menyiapkan album penuh pertamanya yang dijangka dilancarkan pada awal tahun hadapan.

Tags / Kata Kunci: Kaka Azraff , Sibuk
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan