Pelawak Hazmeer perlu RM18,000 rawatan jantung anak - Berita Hiburan | mStar

Pelawak Hazmeer perlu RM18,000 rawatan jantung anak

Diterbitkan: Sabtu, 4 Ogos 2018 6:15 AM

Hazmeer rayu bantuan untuk kos pembedahan anaknya.

(Ubah saiz teks)

PELAWAK Hazmeer Hassan berhadapan ujian besar apabila cahaya mata pertamanya berdepan masalah jantung sejak dilahirkan dua bulan lalu.

Ahli kumpulan XOXO ini berkata, bayi lelaki yang dilahirkan pada 16 Jun lalu itu mempunyai masalah injap jantung terbalik yang menyebabkan kekurangan darah memasuki paru-paru.

"Penyakit itu dikesan selepas setenggah jam dia dilahirkan dan doktor memanggil saya untuk menjelaskan keadaan kesihatannya.

"Sejak dia dilahirkan saya belum sempat mendukungnya dan hanya mampu melihat daripada inkubator sahaja," ujarnya kepada mStar Online.


Fad Bocey, Ajak dan Shahrol Shiro antara rakan artis yang tampil merayu bantuan untuk Hazmeer.

Hazmeer berkahwin dengan Siti Zafirul Azzah pada Ogos tahun lalu.

Bayi yang diberi nama Muhammad Sher Harraz itu kini dirawat di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) di Hospital Melaka.

Sementara itu, dia yang bekerja sebagai penyampai sambilan di Melaka FM sudah mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

"Sudah dua kali ke IJN bagi pemeriksaan dan pada fasa pertama doktor beritahu akan buat pembedahan bagi menambah saluran darah ke paru-paru.

"Kos kasar mencecah RM18,000 dan saya akui pendapatan sebagai freelance agak membebankan untuk kami menanggung kos besar itu," ujarnya.

Kumpulan XOXO dianggotai oleh Wan (kiri), Wan Gegau (tengah) dan Hazmeer.

Hazmeer berterima kasih kepada rakan-rakan selebriti yang memberi sokongan dan bantuan kepada dia dan keluarga.

Katanya, bantuan yang dipohon itu adalah bagi meringgankan beban untuk menyelamatkan nyawa kanak-kanak itu semata-mata dan tiada niat untuk mengambil kesempatan.

"Alhamdulillah, ada pihak yang membuat kutipan dan mohon bantuan untuk kos rawatan anak saya. Saya berterima kasih kepada yang ingin membantu," ujarnya.

Berita tentang penyakit dan bantuan kos rawatan itu menjadi tular dan dimuat naik oleh beberapa selebriti terkenal tanah air.

Tags / Kata Kunci: Hazmeer Hassan XOXO
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan