Cukup rencah 4 Datuk bergabung dalam ‘Baik Punya Concert’ - Berita Hiburan | mStar

Cukup rencah 4 Datuk bergabung dalam ‘Baik Punya Concert’

Diterbitkan: Jumaat, 27 Julai 2018 3:27 PM

Pementasan Baik Punya Concert 4D sedang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya sehingga 28 Julai ini. Foto CHAN TAK KONG

(Ubah saiz teks)

CUKUP rencah cukup rasa. Itulah perkataan yang paling tepat untuk menggambarkan Baik Punya Concert 4D yang mula dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada Khamis.

Menampilkan gandingan mantap empat Datuk iaitu Datuk Afdlin Shauki, Datuk Hans Issac, Datuk Awie dan Datuk AC Mizal, konsert yang berlangsung selama hampir tiga jam itu berlalu tanpa disedari.

Manakan tidak, penonton yang hadir pada malam pembukaan bagaikan terpaku dengan segala elemen yang dibawakan mereka.

Ia boleh diibaratkan seperti perjalanan penuh adrenalin bersulam emosi. Semuanya lengkap, dengan paduan vokal, rentak tari, komedi, air mata, semuanya ada.

Afdlin dan AC Mizal bermesra dengan penonton yang hadir.

Dibantu pula dengan sistem audio dan visual yang mantap, ia sekali gus menjadikan konsert itu setanding konsert bertaraf antarabangsa.

Selain menyanyikan seleksi lagu-lagu hit tempatan dan antarabangsa, selingan antara lagu pastinya yang paling mencuri tumpuan.

Seluruh panggung pecah perut bergelak ketawa menyaksikan lagak mereka berempat saling membuka aib masing-masing khususnya mengenai kisah-kisah yang menimpa mereka sepanjang bergelar anak seni.

Gandingan empat Datuk ini cukup rencah, cukup rasa. 

Yang paling teruk menjadi bahan pastinya Awie yang diberi jolokan artis mesra mahkamah.

Begitu juga dengan Hans, dari awal sehingga tamatnya konsert dia tidak henti-henti diusik soal jodoh memandangkan hanya dia yang masih bujang dalam kalangan mereka.

Bercerita mengenai lagu, selain mempersembahkan hits yang pernah menjadi siulan ramai seperti Fiona nyanyian asal 4U2C, Menaruh Harapan (Zaiton Sameon), mereka turut mendedangkan lagu Bollywood Bole Chudiyan dari filem Kabhi Kushi Kabhie Gam dan lagu Every Breath You Take nyanyian kumpulan The Police.

Awie, Afdlin dan AC sememangnya berpengalaman dalam bidang nyanyian. Namun kebolehan vokal Hans turut menjadi bualan ramai pada malam itu.

Hans Isaac tunjuk bakat nyanyian.

Paduan vokal mereka berempat begitu mantap dan serasi persis boy band terkenal dunia seperti Westlife dan Backstreet Boys.

Seluruh panggung turut dibawa berlayar menerusi perjalanan penuh emosi tatkala mereka membuat tribute untuk ibu masing-masing menerusi lagu Janji Pada Umi.

Pendek kata, ia boleh diibaratkan sebagai konsert yang cukup sempurna untuk anda.

Baik Punya Concert 4D akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya sehingga 28 Julai ini.

Baik Punya Concert 4D  berlangsung bermula 26 sehingga 28 Julai di Panggung Sari, Istana Budaya.

Ia merupakan kesinambungan kepada koloborasi mereka berempat menerusi projek terdahulu seperti Cuci The Musical dan teater Baik Punya Cilok.

Konsert itu diterbitkan bersama empat syarikat iaitu Tall Oder Sdn. Bhd., Awie Entertainment Sdn. Bhd., DNF Pictures Sdn. Bhd. dan Vision Works Sdn. Bhd.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan