“Sekali dengar terus suka” - Siti Nurhaliza rakam lagu Hael - Berita Hiburan | mStar

“Sekali dengar terus suka” - Siti Nurhaliza rakam lagu Hael

Diterbitkan: Ahad, 22 Julai 2018 6:30 AM

Siti Nurhaliza bakal merakamkan lagu ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong pada September depan.

(Ubah saiz teks)

GANDINGAN penyanyi dan komposer Hael Husaini dan Ezra Kong semakin mendapat perhatian pendengar apabila kebanyakkan lagu ciptaan mereka seperti Pematah Hati, Jampi, Hati-Hati dan terbaharu Polis Entry menjadi hit.

Terbaharu penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza mendedahkan beliau pula bakal bekerjasama dengan duo itu untuk single terbaharunya pada September depan.

Siti, 39, berkata, beliau tertarik dengan lagu yang masih belum diberi judul itu selepas mendengar demo diberikan Hael kepadanya beberapa bulan lalu.

"Sekali dengar terus suka! Insya-Allah bulan September nanti masuk studio untuk rakamkan lagu tersebut.

"Jujurnya saya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Hael dan Ezra kerana mereka berdua mempunyai bakat besar dan banyak lagu ciptaan mereka yang berjaya menambat hati pendengar," katanya.

Siti menyifatkan Hael dan Ezra adalah komposer muda berbakat besar.

Siti ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharu SimplySiti iaitu Kosmetik Gold Edition yang diadakan di Menara KL, Isnin lalu.

Menyifatkan ia menampilkan bunyi segar dan terkini, Siti memberitahu lagu itu juga bakal memperlihatkan perbezaan berbanding lagu yang pernah dirakamkan sebelum ini.

"Hael dan Ezra mempunyai magik mereka yang tersendiri dan saya tertarik dengan lagu itu kerana ia berbeza daripada apa yang pernah saya rakam sebelum ini.

"Diharap peminat dan pendengar akan menyukai lagu itu nanti," katanya.

Untuk rekod, sepanjang lebih 20 tahun penglibatannya sebagai penyanyi, Siti pernah menghasilkan 17 buah album dan kali terakhir tampil dengan ablum penuh menerusi SimetriSiti pada 2017.

Tags / Kata Kunci: Siti Nurhaliza , Hael Husaini , Ezra Kong
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan