Alvin Wong asalnya seorang pengotor - Berita Hiburan | mStar

Alvin Wong asalnya seorang pengotor

Diterbitkan: Jumaat, 20 Julai 2018 6:30 AM

Alvin mengidap penyakit OCD sejak usianya meningkat 30-an. Foto Instagram: @primeworks.studio.

(Ubah saiz teks)

PELAKON Alvin Wong mendedahkan dia mengidap penyakit gangguan mental iaitu Obsessive Compulsive Disorder (OCD) sejak menginjak usia 30-an.

Alvin, 44, berkata ketika zaman kanak-kanak dia tidak pernah kisah untuk bermain di tempat yang kotor.

"Saya mula jadi OCD sejak usia 30-an. Kalau ikutkan masa zaman kanak-kanak, saya seorang yang pengotor.

"Suka main dalam longkang, tangkap ikan dan macam-macam lagi. Tapi sejak usia dah meningkat ini, saya jadi pembersih.

"Tak boleh nak kotor-kotor. Mudah rasa geli dengan benda yang tak bersih," kata Alvin kepada mStar Online.

Alvin ditemui ketika malam gala tayangan filem Pulang di GSC, Pavilion, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Pengarah Kabir Bhatia memberi arahan dalam salah satu babak antara Alvin dengan Puteri Aishah.

Alvin turut berkongsi pengalaman terpaksa bergelumang dalam air bertakung yang dipenuhi darah palsu serta mentega kacang ketika penggambaran filem Pulang pada dua tahun lalu.

Kata Alvin yang memegang watak sebagai Lum menerusi filem itu, babak tersebut merupakan cabaran besar buatnya.

"Antara babak yang mencabar dalam filem itu ketika saya dan Remy menyorok di sebalik timbunan mayat dalam sungai.

"Dua bahagian sungai disekat bagi memastikan air bertakung dan semua pelakon yang menjadi mayat disiram dengan darah palsu dan mentega kacang.

"Beberapa bahagian badan saya yang kononnya tercedera juga ditampal dengan mentega kacang dan darah palsu.

"Sebagai penghidap OCD, saya tidak suka benda yang melekit dan melekat di badan. Rasa geli!" ujarnya.

Barisan pelakon filem Pulang.

Dalam pada itu, pelakon drama bersiri Mandatori ini memberitahu dia mengambil masa dua jam untuk membersihkan badannya selepas tamat merakam babak tersebut.

Malah, emosi yang dizahirkan dalam babak itu juga bukanlah lakonan namun ia adalah reaksi sebenarnya.

"Sebenarnya, reaksi wajah saya dalam babak itu bukanlah lakonan tapi ia adalah reaksi yang sebenar. Saya betul-betul geli dengan keadaan itu.

"Selepas habis babak itu saya mengambil masa dua jam untuk mandi dan bersihkan badan sampai rasa betul-betul bersih," katanya.

Pulang turut dibarisi pelakon hebat seperti Remy Ishak, Puteri Aishah, Azrel Ismail, Erwin Dawson, Datuk Jalaluddin Hassan, Juliana Evans dan ramai lagi.

Filem epik arahan Kabir Bhatia itu akan mula ditayangkan di pawagam bermula 26 Julai nanti.

Tags / Kata Kunci: Alvin Wong
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan