Syuk (Balas) terkejut berat badan cecah 102kg - Berita Hiburan | mStar

Syuk (Balas) terkejut berat badan cecah 102kg

Diterbitkan: Rabu, 18 Julai 2018 6:20 AM

Shuk (Balas) berazam untuk mengurangkan berat badannya sehingga mencapai angka ideal. Foto SHAARI CHE MAT

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelawak dan pengacara Shuk (Balas) kini mengikut jejak langkah rakan seperjuangannya, Abam (Bocey) dalam misi mengurangkan berat badan.

Shuk atau Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 32, berkata, dia membuat keputusan itu selepas terkejut dengan peningkatan berat badannya yang kini mencecah 102 kilogram selain mula sedar kepentingan menjaga kesihatan.

“Dulu memang saya pernah kata tak perlu diet dan selesa dengan diri saya tetapi apabila berat badan mencecah 100 kilogram saya mula merasai kesannya seperti cepat penat dan mudah berasa malas.

“Apabila melihat angka itu saya tersentak dan mula sedar bahawa ia tidak bagus untuk kesihatan dan perlu segera melakukan sesuatu.

“Alhamdulillah saya sudah mula mengamalkan diet sejak dua minggu lalu dan teruja apabila hanya dalam masa seminggu berat saya turun lima kilogram,” katanya.

Shuk ditemui pada sidang media pelancaran program I Can See Your Voice Malaysia yang diadakan pada Selasa.

Pelawak itu bakal bergandingan dengan aktor Alvin Chong sebagai hos program yang bakal bersiaran 4 Ogos depan, setiap Sabtu, 10 malam di ntv7.

Bercakap mengenai diet yang diamalkan, Shuk berkata, dia tidak mengambil sebarang jenis makanan berkarbohidrat tinggi seperti nasi serta gula dalam minumannya.

Shuk dan Alvin Chong bergandingan sebagai hos dalam I Can See Your Voice Malaysia.

Bagaimanapun kata Shuk, sebelum memulakan diet itu dia ada berjumpa pakar pemakanan bagi mengetahui kaedah sesuai dan terbaik untuknya bagi mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari.

“Setiap hari isteri akan bekalkan saya dua botol air kosong sebanyak empat liter untuk saya habiskan dan sekiranya gagal dia akan mendenda saya!

“Pada awalnya memang sukar, tetapi lama kelamaan saya mula terbiasa selain tidak makan nasi dan mengambil sebarang gula.

“Air putih sebenarnya membantu saya mempercepatkan proses menurunkan berat badan selain itu tentang diet saya merujuk kepada pakar,” katanya.

Pun begitu kata Shuk, proses peralihan gaya hidupnya itu bukan sesuatu yang mudah kerana dia seorang yang suka menikmati makanan.

Kata Shuk, dia bagaimanapun perlu kuatkan hati dan fokus kepada misinya dalam memastikan kesihatannya dalam keadaan baik untuk tempoh panjang.

“Saya nak kurus bukan sebab nak kacak atau mendapat tubuh badan sasa tetapi saya fikir kesihatan.

“Tetapi tidak dinafikan juga apa dilakukan ini untuk kebaikkan karier saya juga... Paling tidak nampak lebih kurus dalam televisyen,” jelasnya.



Antara mereka yang terlibat dalam I Can See Your Voice Malaysia.

Bercakap mengenai I Can See Your Voice Malaysia, Shuk berkata, dia tidak berasa kekok mengendalikan program itu kerana dia memang pengikut setia rancangan itu versi Korea Selatan.

Kata Shuk, atas sebab itu, dia memahami konsep program itu dengan mudah selain dapat membuat improvisasi dalam pengacaraannya agar lebih bersifat tempatan.

“Sebagai pelawak saya memang banyak menonton pelbagai program dari seluruh dunia dan kebetulan I Can See Your Voice versi asal pun saya menonton.

“Jadi tidaklah sukar untuk saya mengendalikan rancangan itu ditambah pula saya ada sokongan daripada Alvin Chong,” katanya.

Bercakap mengenai Alvin, Shuk memuji pelakon itu yang sanggup menyahut cabaran mengendalikan program itu dalam bahasa Melayu.

“Alvin kalau dia tak tahu dia akan bertanya dan cepat belajar. Itu adalah kualiti yang baik ada pada dirinya selain senang bekerjasama.

“Tapi kadang-kadang kalau ada perkataan dia tak faham memang akan jadi ‘bahan’ yang akhirnya jadi lawak,” katanya.

Selain Shuk dan Alvin, I Can See Your Voice Malaysia turut menampilkan Jihan Muse, Mark Adam dan Seelan Paul sebagai penyiasat tetap.

Tags / Kata Kunci: Syuk Balas
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan