Hael Husaini rujuk ustaz besarkan anak angkat perempuan - Berita Hiburan | mStar

Hael Husaini rujuk ustaz besarkan anak angkat perempuan

Diterbitkan: Ahad, 15 Julai 2018 6:40 AM

Hael Husaini akui hidup berubah selepas ambil Halena.

(Ubah saiz teks)

PENYANYI Hael Husaini mengakui banyak persoalaan netizen berkenaan cara dia membesarkan anak angkatnya Halena memandangkan bayi itu seorang perempuan.

Hael, 30, berkata, perkara berkaitan penjagaan itu sudah dirujuk kepada pihak ustaz dan ahli agama berkenaan cara yang betul membesarkan bayi tersebut dalam Islam.

“Perkara ini saya sudah fikir awal-awal lagi, memang ramai yang mempersoakan perkara itu.

“Susah saya nak menjelaskan satu-satu kepada netizen tapi apa yang saya boleh jelaskan bahawa saya sudah merujuk kepada ustaz tentang cara nak membesarkan bayi perempuan ini dengan betul,” ujarnya kepada mStar Online.

Hael ditemui pada majlis akikah dan rumah terbuka Aidilfitri yang diadakan di Ruang, Subang Jaya, pada Jumaat.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Jampi ini mengambil anak angkat perempuan yang diberi nama Halena Hael, 1.

Halena kini sudah berusia setahun tiga bulan.

Dalam pada itu, Hael berkata, dia juga melalui proses yang betul dan masih di bawah pantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Selain itu, ditanya tentang perancangann untuk bayi berkenaan, Hael berkata, dia hanya mahu Halena membesar seperti kanak-kanak lain.

“Saya ada perancangan untuk dia tapi buat masa ini apa yang penting saya mahu dia dapat kasih sayang yang cukup dan membesar seperti kanak-kanak biasa,” katanya.

Hael turut menasihatkan agar orang ramai yang mempunyai hasrat untuk mengambil anak angkat tidak ragu-ragu dengan niat tersebut.

Katanya, hidupnya berubah dan diberi rezeki yang lebih baik selepas mengambil anak angkatnya itu.

“Jangan takut tentang rezeki, secara jujur masa saya ambil Halena pendapatan saya cukup makan sahaja.

“Tapi saya percaya keajaiban berlaku dan merubah kehidupan saya menjadi lebih baik selepas kehadiran dia,” ujarnya.

Tags / Kata Kunci: Hael Husaini
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan