Puteri Aishah tak sedar buaya muncul di tepi sampan - Berita Hiburan | mStar

Puteri Aishah tak sedar buaya muncul di tepi sampan

Diterbitkan: Khamis, 5 Julai 2018 6:30 AM

Puteri kongsi detik cemas ketika jalani penggambaran filem Pulang. Foto: NORAFIFI EHSAN.

(Ubah saiz teks)

PELAKON Puteri Aishah berkongsi detik cemas ketika menjalani penggambaran filem Pulang di sebuah muara sungai yang terletak di Terengganu.

Puteri, 25, berkata kru produksi terpaksa menipu kerana tidak mahu dia berasa panik apabila seekor buaya muncul secara tiba-tiba.

"Ketika babak saya sedang berdialog di atas sampan, tiba-tiba saya terdengar bunyi pergerakan air. Sedangkan di persekitaran ketika itu agak sunyi.

"Bila bertanya kepada kru, mereka kata tiada apa-apa tapi selepas selesai penggambaran, baru mereka beritahu. Bunyi itu terjadi sebab ada buaya di tepi sampan kami.

Filem Pulang mengandingkan Puteri Aishah dan Remy Ishak.

"Luruh jantung dibuatnya. Tapi nasib baik mereka tak beritahu perkara sebenar, kalau tidak, mesti saya panik dan tak nak teruskan penggambaran," katanya kepada mStar Online.

Filem yang bakal menjengah pawagam bermula 26 Julai ini, menjalani penggambaran dua tahun lalu selama 45 hari.

Tambah Puteri, dia berasa bertuah kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada barisan pelakon filem epik terbitan Primework Studios.

Malah, dia turut meluahkan rasa gembira apabila dapat bekerjasama dengan pengarah Kabir Bhatia dan tunjuk ajar daripada guru lakonan, Fatimah Abu Bakar.

Puteri Aishah.

"Ketika saya terima tawaran filem ini, saya masih baru lagi dalam industri dan tidak sangka mereka mempercayai kebolehan saya.

"Selain dapat bekerjasama dengan pengarah Kabir Bhatia, saya juga bertuah kerana pelakon senior banyak membantu ketika menjayakan filem ini.

"Saya juga gembira kerana menerima tunjuk ajar dari guru lakonan kami, Fatimah Abu Bakar," katanya.

Pulang yang mengambil latar era 1940-an hingga 2010 membariskan pelakon lain seperti Remy Ishak, Datuk Jalaludin Hassan, Erwin Darson, Azrel Ismail dan ramai lagi.

Tags / Kata Kunci: Puteri Aishah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan