Bantu Bront Palarae kumpul RM2 juta - Berita Hiburan | mStar

Bantu Bront Palarae kumpul RM2 juta

Diterbitkan: Selasa, 3 Julai 2018 6:00 AM

Bront Palarae lancar kempen bagi mengumpul dana sebanyak RM2 juta untuk filem arahannya, Dawn Raid: The Hands That Rattled The Queen.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah Bront Palarae berharap kempen Pitchin untuk mengumpul dana sebanyak RM2 juta bagi menghasilkan filem Dawn Raid: The Hands That Rattled The Queen mendapat sokongan daripada orang awam.

Bront berkata, kos keseluruhan menerbitkan filem itu sebanyak RM4.5 juta dan berharap dapat mengumpul dana itu bagi membolehkan projek berkenaan dimulakan secepat mungkin.

"Kos filem ini tinggi berbanding filem tempatan yang lain kerana latar filem itu dibuat sekitar tahun 1979-1981 selain penggambaran akan dilakukan di United Kingdom.

"Sebab itu kami mengambil inisiatif membuat kempen kutipan ikhlas daripada orang ramai bagi membolehkan projek ini dimulakan pada September depan sebelum penggambaran dilakukan pada Januari tahun depan," katanya.

Dawn Raid: The Hands That Rattled The Queen mengangkat daripada kisah benar yang bakal memaparkan usaha Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad, Bekas Gabenor Bank Negara, Ismail Ali dan bekas Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim untuk membeli aset milik negara di United Kingdom.

Bront menyasarkan filem itu untuk ditayangkan bersempena Hari Kemerdekaan pada tahun hadapan dalam memberikan inspirasi kepada penonton dan generasi akan datang.

Bront berharap filem terbaharunya itu dapat menjalani penggambaran pada Januari tahun hadapan.

Malah kata Bront, dia juga terbuka sekiranya mana-mana syarikat korporat yang ingin bersama-sama menampung kos bagi menjayakan filem ini.

"Selain itu, kami turut memohon dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), tetapi ia masih dalam peringkat perbincangan," katanya.

Dalam pada itu, Bront berkata, pihaknya juga turut memohon dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) selain mencari pelabur persendirian namun ia masih dalam peringkat perbincangan.

Bagaimanapun kata Bront, setakat ini pihak Finas dan pelabur peribadi menunjukkan minat terhadap filem itu dan berharap mereka dapat memberi sokongan pada projek itu.

"Kita telah menghantar permohonan kepada pihak Finas dan setakat ini mereka sangat teruja dan memberi kerjasama penuh.

"Harapnya pihak Finas juga dapat memberi sokongan pada projek ini. Setakat ini masih belum ada tajaan dari mana-mana pihak," katanya.

Setakat ini jumlah kutipan berjumlah RM8,332.

Tambah Bront, pihaknya turut berterima kasih kepada pihak Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang memberi dana untuk membangunkan idea filem ini menerusi Dana Pembangunan tiga tahun lalu.

"Video previu yang tular baru-baru ini sebenarnya adalah hasil R&D dan contoh visi yang kita ingin persembahkan dalam filem yang sebenarnya.

"Ramai sangka filem itu terbengkalai setengah jalan, sebenarnya ia belum pun bermula lagi," ujarnya.

Orang ramai yang ingin menyumbang kepada dana filem itu boleh melayari www.reward.pitchin.my/projects/dawn-raid-the-hands-that-rattled-the-queen.

Sejak kempen itu dilancarkan pada 18 Jun lalu, sumbangan diterima sudah pun mencecah RM8,332 dan kempen itu bakal berakhir 31 Julai ini.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan