Asyik diminta jadi nenek dan hantu - Delimawati - Berita Hiburan | mStar

Asyik diminta jadi nenek dan hantu - Delimawati

Diterbitkan: Isnin, 2 Julai 2018 6:00 AM

Delimawati mengakui lebih banyak menerima watak sebagai nenek atau pun hantu. Foto AZHAR MAHFOF

(Ubah saiz teks)

DRAMATIS Delimawati Ismail berpendapat penerbit tempatan semakin terikut-ikut acuan drama di Filipina yang gemar menggunakan aktres jauh lebih muda sebagai watak ibu sehingga menyebabkan pelakon sepertinya dipinggirkan.

Kata Delimawati atau lebih dikenali sebagai Kak Limah, menerusi pengalamannya sendiri, produksi lebih banyak menawarkan watak seorang nenek atau pun hantu kepadanya.

"Jika anda perasan sekarang watak-watak ibu banyak diberikan kepada pelakon berusia 40-an yang pada pandangan saya, pelakon usia seperti saya lebih layak mendapat peranan itu.

"Habis yang usia seperti saya ni nak jadi apa? Takkan setakat jadi nenek dan hantu saja?

Delimawati bergandingan dengan Mr. K dalam Hantu Kak Limah yang bakal menemui penonton pada Ogos depan.

"Situasi ini harus berubah dan janganlah terus pinggirkan kami dan terikut-ikut dengan cara drama negara lain," katanya.

Dalam pada itu, Delimawati berkata, situasi itu menyebabkan pelakon veteran sepertinya tidak mempunyai pilihan selain menerima apa sahaja watak diberikan demi kelangsungan hidup.

Katanya lagi, watak nenek dan hantu juga sangat terhad menyebabkan adakalanya dia tidak mempunyai sebarang tawaran berlakon.

"Seperti sekarang sudah dua bulan saya tidak berlakon kerana tiada tawaran... Nasib baik ada simpanan dan anak-anak ada memberi duit belanja setiap bulan.

"Tetapi saya pun tidaklah mahu mengharapkan mereka saja kerana anak-anak pun ada tanggungjawab masing-masing.

Kak Limah dan Mr. K bersanding hanya gimik pelancaran filem.

"Jika ada tawaran memang saya terima kerana tiada pilihan dan sebagai pelakon itu sudah menjadi tanggungjawab saya," katanya.

Bagaimanapun kata Delimawati, peranannya sebagai hantu terutamanya menerusi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid pada 2010 diakui meninggalkan kesan cukup mendalam terhadap kariernya yang diceburi sejak 30 tahun lalu.

Malah katanya, sehingga ke hari ini dia lebih dikenali dengan nama Kak Limah dalam kalangan peminat dan menganggap perkara itu telah mempopularkan dirinya.

"Pada awalnya saya kurang selesa dipanggil Kak Limah tetapi lama-kelamaan saya okay sahaja kerana sedar filem itu benar-benar meninggalkan kesan kepada penonton.

Awie turut berlakon dalam Hantu Kak Limah.

"Ini semua jasa Mamat Khalid, kalau beliau tidak mengambil saya berlakon mungkin sampai ke hari ini orang tidak kenal saya," ujarnya.

Delimawati sebelum ini juga dikenali dengan nama Cik Kiah selepas drama yang juga arahan Mamat Khalid pada 1998, Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel menjadi popular.

Bercakap mengenai filem terbaharunya, Hantu Kak Limah yang bakal menemui penonton pada 9 Ogos depan, Delimawati berkata, dia teruja untuk menantikan reaksi peminat kerana naskhah itu kali ini lebih gamat.

Selain Delimawati, ia menampilkan barisan pelakon Datuk Awie, Zul Ariffin, Uqasha Senrose, Jue Aziz, Ropie, Mus May, Pekin Ibrahim, Sharwani, Datuk Seri Vida dan TJ Isa.

Tags / Kata Kunci: Delimawati , Hantu Kak Limah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan